KE ARAH MEMBENTUK MASYARAKAT

 ADIL& BERMORAL

Batalkan terus Ustaz, tak payah jumpa!

Dan mari kita lupakan saja isu perpaduan Melayu itu

 Oleh Dinsman

DISINI BERMULA

Cukuplah setakat itu saja. Niat sebenar dia pun kita dah tahu. Pendirian PAS pun orang semua dah tahu. Cukuplah. Tak perlu nak jumpa dia lagi. Dia saja-saja nak jumpa saja, sebab perjumpaan itu sangat penting bagi dia.

Dia cuma nak tunjukkan pada orang Melayu, yakni orang Melayu yang masih ada saki-baki yang menyokong dia, bahawa dia sanggup buat apa saja demi kepentingan Melayu. Dia sanggup, nak berjumpa dengan PAS pun tak apa, asalkan untuk kepentingan orang Melayu. Konon. Itu saja.

Keputusan PAS untuk menyambut jemputan Mahathir pada mula-mula dulu memang satu keputusan yang tepat. Dan keputusan keADILan untuk menolaknya pun satu keputusan yang tepat juga untuk keADILan.

Dengan adanya dua keputusan yang berbeza (tetapi saling melengkapi satu sama lain) inilah maka terserlah, terbongkar dan menjadi jelas beberapa perkara penting di pihak PAS dan di pihak Mahathir, bahkan juga di pihak keADILan, yang kalau bukan kerana keputusan berkenaan, perkara-perkara tersebut belum menjadi jelas di kalangan orang ramai.  

Banyaklah perkara yang telah menjadi jelas. Pertama sekali mengenai Melayu dan Islam. Mahathir kata, untuk perpaduan Melayu. Tetapi PAS kata, untuk perpaduan nasional. Dan keADILan kata, Parti Keadilan Nasional adalah parti pelbagai kaum.

PAS menolak sama sekali keutamaan diberikan kepada soal perpaduan Melayu. Bagi PAS, perjuangan yang berasaskan kepada bangsa atau kaum (kebangsaan atau perkauman), tidak boleh menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh negara. Sebaliknya Islam mempunyai jawapan dan penyelesaian kepada segala permasalahan.

PAS tidak berjuang untuk kepentingan Melayu. Tetapi PAS berjuang untuk kepentingan semua bangsa manusia, dengan berpandu dan berpegang kepada ajaran Islam. Keutamaan bagi PAS ialah Islam, bukan Melayu; dan Islam tidak memberi kelebihan kepada sesuatu bangsa (kaum) mengatasi bangsa yang lain.

Prinsip PAS itu menjadi semakin jelas kepada orang ramai pelbagai kaum. Lebih jelas daripada sebelumnya. Kerana sejak hebohnya isu pertemuan Mahathir-Fadzil, orang ramai memberi perhatian kepada penjelasan PAS lebih daripada perhatian yang pernah mereka berikan sebelum ini.

Yang kedua, persefahaman dalam muafakat Barisan Alternatif (BA) menjadi lebih kukuh.

Pada mulanya memang terdapat riak-riak krisis antara parti-parti komponen BA. Ini terjadi akibat putar belit jahat pihak media pengampu Mahathir, yang menyebarkan cerita karut kononnya PAS ada hasrat nak join Barisan Nasional, dan meninggalkan BA.

Ketika itu ternampak ada rasa curiga antara ahli-ahli komponen BA. Nampak bahawa ikatan antara ahli-ahli parti komponen BA masih longgar dan rapuh. Tetapi rasa curiga itu kemudiannya bertukar menjadi persefahaman yang semakin kuat dalam muafakat BA, apabila pendirian sebenar PAS diketahui umum. Bahawa PAS tak mungkin akan join BN.

Sebenarnya Mahathir pun cuba nak “test market’. Dia nak tengok sejauh manakah kuatnya PAS sekarang, dan sejauh manakah kukuhnya muafakat antara parti-parti pembangkang yang sedang mencabar BN.

Bukankah tak lama setelah Ustaz Fadzil menangguhkan pertemuan yang dicadangkan pada 19 Februari itu, maka Abdullah Badawi pun menyebut bahawa tidak timbullah soal PAS nak join BN.

Dan kemudian Dr Mahathir pun sebut lagi perkara itu dalam sidang media khasnya pada 8 Mac. Dia kata, “bukanlah kita hendak minta PAS masuk BN ataupun bergabung dengan Umno.” Buat apa dia perlu kata begitu kalau bukan kerana hendak perbetulkan kesilapan yang telah dibuatnya?

Akhbar pengampu itu pun sedar putar belit jahat mereka telah memberikan kesan negatif kepada agenda mereka supaya Fadzil bersetuju jumpa Mahathir, lalu pada 9 Mac kita terbaca satu tajuk besar untuk teks sidang media Mahathir itu, iaitu “Umno tiada niat ajak PAS sertai Barisan Nasional”. Kenapa itu yang dijadikan tajuk, kalau bukan kerana nak perbetulkan keterlanjuran dulu?

Begitulah. Dan perkara yang ketiga ialah memecahkan beberapa ‘tembelang’ Mahathir/Umno, berkaitan dengan apa yang dikatakan cadangan ‘pertemuan perpaduan Melayu’ yang mereka sifatkan sebagai sangat-sangat penting untuk negara.

Kononnya pertemuan ini sangat penting untuk bangsa dan negara. Maka diajaknyalah PAS dan KeAdilan untuk bersemuka membincangkan masalah bersama. Sedangkan tajuk perkara yang nak dibincangkan pun tak tahu apa dia.

Puas pihak Jawatankuasa Teknikal PAS bertanya kepada pihak Jawatankuasa Teknikal Umno apakah agenda perbincangan mahapenting antara presiden-presiden dua parti politik terbesar di Malaysia itu. Tetapi pihak Jawatankuasa Teknikal Umno tak dapat menjawabnya. Mereka pun tak tahu. Yang tahu hanya Mahathir seorang saja.

Perkara ini disahkan oleh Mahathir sendiri dalam sidang media khasnya pada 8 Mac. Hanya pada 8 Mac itu baru Mahathir nak sebut apa agenda dia untuk perbincangan dengan presiden PAS. Sedangkan PAS dalam mesyuarat pertama Jawatankuasa Teknikal pun sudah kemukakan agenda dan prasyaratnya.

Inikah yang dikatakan ‘pertemuan penting’ untuk kesetabilan negara? Tajuk perbincangan pun tak ada. Dan pada 8 Mac itu, apabila Mahathir mengumumkan empat agendanya, ternyata tidak ada satu pun yang ‘relevan’ dan ‘serius’ untuk dibincangkan sebagai agenda bersama.

Terserlah bahawa bukan perbincangan sebenarnya yang penting bagi Mahathir. Yang penting bagi Mahathir hanyalah “bertemu” sahaja.

Ertinya ini bukan pun agenda Melayu. Jauh sekalilah daripada menjadi agenda nasional. Ini hanya agenda Mahathir sahaja.

Namun bagi PAS, jelas. Dan orang ramai pun boleh nampak kejelasan di pihak PAS itu. Empat agendanya untuk dibincangkan, dan tiga prasyaratnya untuk diterima terlebih dahulu oleh Umno, berserta dengan satu suasana kondusif yang dituntutnya supaya dilahirkan oleh pihak Umno. Jelas.

Satu daripada agenda PAS ialah mengenai kehakiman dengan rujukan khusus kepada kes Datuk Seri Anwar Ibrahim. Ini bukan sahaja satu isu nasional, tetapi juga merupakan satu isu universal, iaitu keadilan dan kemanusiaan, yang sedang mendapat perhatian dunia. Bahkan inilah juga isunya yang menyebabkan terjadinya apa yang dikatakan Mahathir sebagai “perpecahan Melayu” itu.

Tetapi agenda sepenting ini pun rupa-rupanya tidak terdapat di kalangan empat agenda yang hendak dibincangkan oleh Mahathir. Sebaliknya Mahathir nak ajak Ustaz Fadzil berbincang mengenai hak keistimewaan orang Melayu, kedudukan agama Islam, bahasa kebangsaan dan status raja-raja. Itu saja.

Memang tak relevan dan tak serius pun. Tak ada benda yang perlu dibincangkan pun mengenai keempat-empat perkara itu. Bahkan Mahathir nampak macam “Pak Lawak” pula, nak ajak berbincang mengenai empat perkara itu. Mengarutlah dia!

Nak ajak PAS berbincang mengenai kedudukan agama Islam. Apa ni? Tak lawakkah? Aduhai …

Cukuplah Fadzil! Cukuplah setakat itu saja.

Kita berhenti di sini sahajalah bercakap mengenai pertemuan dengan Mahathir untuk ‘perbincangan perpaduan Melayu’ atau ‘perbincangan perpaduan nasional’. Kalau diteruskan lagi ia akan masuk ke dalam zon ‘mengarutlah’.

Bersyukurlah. Setakat ini PAS sudahpun berjaya memperjelaskan beberapa perkara penting kepada pengetahuan umum, seperti yang disebut di atas tadi. PAS sudah berjaya memanfaatkan tempoh tersebut untuk kebaikan parti PAS sendiri, dan juga untuk kebaikan pakatan BA.

Tidak sia-sialah juga kita membuang masa untuk itu. Dan terbukti PAS tidak kalah dalam ‘permainan’ ini. Jauh sekali daripada termasuk perangkap Mahathir.

Ini pun satu hal lagi yang telah menjadi jelas dalam tempoh dua bulan heboh-heboh Mahathir nak jumpa Fadzil sejak awal tahun 2001 itu. Selama ini orang kita takut sangat kalau-kalau PAS terperangkap kepada Mahathir, seolah-olah Mahathir itu hebat sangat, dan Fadzil itu tak mampu untuk menanganinya.

Alhamdulillah sekarang persepsi ‘inferiority complex’ itu ternyata satu persepsi lapuk yang sudah ketinggalan zaman. Kita sudah masuk satu era baru. Era lama itu sudah berakhir.

Sekarang kita sudah sama level dengan ‘orang itu’. Bahkan barangkali level kita yang sebenarnya sudah lebih tinggi daripada dia. Dialah yang inferior sekarang. Islam terbukti sudah berada di atas daripada yang lain-lain.

Tepat sekalilah PAS meletakkan tiga prasyarat tersebut. Dua daripadanya supaya dikembalikan semula hak PAS dan hak Kerajaan Negeri Terengganu yang telah mereka rampas. Dan satu lagi mengenai penggunaan perkataan Islam pada nama pertubuhan.

Kita hentikan saja bercakap mengenai perkara pertemuan ini, sehingga mereka tunaikan tiga tuntutan prasyarat tersebut. Kalau mereka enggan tunaikannya, kita lupakan sajalah cerita ini. Ada banyak lagi perkara lain yang perlu kita berikan perhatian.

Apa Mahathir dan Umno nak cakap pun, biarlah mereka cakap. Kita buat kerja kita, mereka buat kerja mereka. Kita tengok ke mana pula Mahathir akan cuba bawa perkara ini, demi untuk menyelamatkan karier politiknya yang sedang nazak itu!

DISINI TAMAT

BEBASKAN MEDIA !

KEMBALI