KE ARAH MEMBENTUK MASYARAKAT

 ADIL& BERMORAL

Kerajaan terperangkap dalam jerat Ezam -- Musa Hitam

 DISINI BERMULA

KUALA LUMPUR: Pengerusi Suhakam, Musa Hitam menolak dakwaan bahawa demonstrasi selalu membawa kekacauan, sebaliknya mengingatkan, undang-undang tidak menegah perhimpunan secara aman.

"Kalau ikut cara saya, dengan demonstrasi dibenarkan berdasarkan peraturan yang dipersetujui, kehadiran polis hanya minimal dan setakat stand by," katanya dalam wawancara khas dengan Mingguan Malaysia.

Bagaimanapun, Musa mengingatkan, orang yang berdemonstrasi harus bertanggungjawab: "Mereka perlu mengelak rusuhan, ada kawalan diri." Tambahnya, pihak berkuasa harus memberi kebenaran kepada rakyat untuk berkumpul. "Ia ada kaitan dengan hak untuk berhimpun secara aman bagi orang ramai melahirkan pandangan," ujarnya.

Bekas TPM itu seterusnya menyanggah wakil Mingguan: "Sdr mungkin kata kalau orang berdemonstrasi mesti berlaku huru-hara, saya tidak bersetuju. Cara menjaga keselamatan negara macam kita menentang komunis dulu telah berlalu. Kita perlu menyesuaikan strategi kita supaya lebih akomodatif."

Beliau menambah, "Suhakam percaya demonstrasi jalanan tidak menimbulkan huru-hara jika ia diadakan mengikut garis undang-undang."

Musa juga menyifatkan langkah Utusan menyiarkan kenyataan Ketua Pemuda keADILan, Ezam Mohd Nor mengenai rancangan untuk berdemonstrasi setiap hari dan reaksi terhadapnya sebagai backfire. "Sdr fikir hari-hari dia boleh demonstrasi. Saya fikir tidak boleh melainkan kerajaan terperangkap ke dalam jeratnya!"

Bekas Timbalan Presiden Umno itu menyifatkan Ezam sebagai "ahli politik yang dewasa dengan cepat; Anwar Ibrahim dalam tahanan, dia ambil tanggungjawab."

Ezam ditahan polis, 5 Mac lalu, sehari sebelum 'Idil Adha dan terus dikurung di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi di Jalan Stadium, sehingga 13 Mac, selepas dua kali polis dapat memanjangkan tempoh tahanan remannya. Ia ekoran dua laporan polis (satu darinya oleh Zulkifli Alwi, Setiausaha Pemuda Umno) dibuat terhadapnya ekoran laporan muka depan Mingguan Malaysia yang menyebutkan Ezam "mengaku sedang merancang untuk melancarkan demonstrasi besar-besaran setiap hari bagi menggulingkan kerajaan." Bagaimanapun Ezam menafikannya dalam Utusan Malaysia, 5 Mac. 

Mengulas penangkapan Ezam, Pengerusi DAP, Lim Kit Siang menyifatkan tindakan polis itu "angkuh dan bermotif politik". "Kenapa polis wajar mempercayai Mingguan Malaysia dan bukannya Ezam, khususnya kerana akhbar itu sendiri tidak mempunyai kewibawaan dan integriti?" soal Lim, sambil menambah pemberita dan pengarang akhbar itu harus disiasat dan kebenaran disahkan terlebih dahulu.

DISINI TAMAT

BEBASKAN MEDIA !

KEMBALI