Make your own free website on Tripod.com

KE ARAH MEMBENTUK MASYARAKAT

 ADIL& BERMORAL

Kempen Pemilihan Umno Bahagian Tegang:

ADUN Umno acu pistol

HULU LANGAT: Malam 26 Februari lalu akan menjadi igauan buruk selamanya buat seorang pesara Jabatan Perdana Menteri, Jaafar Mohd Arif, 58 tahun, apabila beliau mendakwa diacu pistol kira-kira tepat di kepalanya, dalam jarak dekat, oleh Ahli  Dewan Undangan Negeri Beranang, Ahamad Kuris Mohd Nor, di Kampung Bt 15, Bukit Kundang, dekat sini.

"Saya betul-betul panik dan terkejut, walaupun beliau mengacu pistol itu ke bahagian antara kepala dan dada saya, hanya untuk seketika. Mungkin selepas menyedari tindakannya itu boleh menimbulkan implikasi buruk, pistol itu kemudiannya di hala ke bawah. Saya hanya tidak membenarkan kenderaan Kuris dan rombongannya melalui kawasan tanah milik isteri saya. Itu saja," kata Jaafar mengimbas kembali peristiwa yang tidak akan dilupakannya itu.

Dalam kejadian lebih kurang jam 10.30 malam itu, difahamkan Kuris dalam perjalanan ke sebuah rumah ketua wanita Umno setempat, yang bersempadanan dengan tanah pertanian milik isteri Jaafar. Sebelumnya rombongan Kuris yang dikatakan terdiri dari beberapa pemimpin Umno Hulu Langat yang giat berkempen bagi menghadapi pemilihan Umno bahagian, April depan, telahpun tiba di rumah ketua wanita itu, Kalsom Manan.

Ahamad Kuris dilaporkan akan bertanding menentang Ketua Bahagian Umno Hulu Langat, Dr Zainal Abidin Ahmad, yang juga ADUN Dusun Tua, dan giat berusaha mendapat sebanyak mungkin pencalonan di peringkat cawangan. Bukit Kundang, tempat kejadian, di bawah kawasan DUN Dusun Tua. Dr Zainal yang juga Timbalan Menteri Besar Selangor dijangka mendapat tentangan sengit daripada kumpulan Kuris.

Menurut Jaafar, bagi menghalang kenderaan turun naik melalui kawasan tanah isterinya itu, beliau meletakkan sekatan berupa zink buruk dan besi jerejak. Lanskap kawasan itu agak berbukit. Melihatkan keretanya tidak dapat melalui jalan ke rumah Kalsom, Kuris berkata kepada Jaafar: "Awak tak kenal siapa saya? Saya YB Kuris, kalau ada apa-apa masalah kita boleh runding."

Selepas itu timbul pertengkaran mulut antara mereka berdua, di mana kemudiannya, Jaafar mendakwa, Kuris mengeluarkan pistol dan menghala ke arahnya.  "Saya tidak berniat untuk memulakan pergaduhan. Sebab itu saya hanya seorang diri. Saya letak sekatan seorang diri. Kalau ada orang nak pukul  pun, saya akan lari," ujarnya lagi, menepis dakwaan sesetengah pihak bahawa beliau sengaja menimbulkan provokasi kepada Kuris.

"Sepatutnya," tambah Jaafar, "kalau ada pun majlis keramaian yang akan dibuat, maklumkanlah dulu kepada saya. Jangan main langgar saja. Lagipun, saya hanya sekat kenderaan melalui kawasan tanah isteri saya, kalau mereka tinggalkan kereta di bawah, dan berjalan kaki naik ke atas, saya tidak menghalang."

Kata Jaafar, selama ini, apa-apa aktiviti parti selalunya akan dijalankan di balai raya berdekatan, lebihkurang 150 meter dari rumah tempat majlis diadakan pada malam itu. "Sebagai manusia biasa, jika mereka minta izin untuk lalu di kawasan itu, saya akan benarkan."

Ekoran peristiwa mengejutkan itu, Jaafar telah membuat laporan polis pada 27 Februari, di Balai Polis Kajang, jam 11.45 pagi kerana takut dan bimbang keselamatan dirinya. Seterusnya pada 9 Mac lalu, jam 12.15 tengahari, Jaafar sekali lagi membuat laporan polis di balai polis yang sama, berikutan tersebarnya risalah yang memburuk-burukkannya.

Jaafar menafikan segala tohmahan yang terkandung dalam risalah itu, yang antara lain mendakwa beliau pada malam kejadian memegang parang dalam keadaan bengis, seolah-olah hilang akal. Risalah yang disebarkan secara meluas di Hulu Langat itu juga mendakwa tindakan Jaafar ada kaitan dengan seorang tokoh Umno tempatan.

"Semua dakwaan dalam surat layang itu adalah tidak benar," tegas Jaafar.

Ahamad Kuris bagaimanapun gagal dihubungi. Bagaimanapun, menurut sumber yang rapat dengannya, mereka juga membuat laporan polis dan mendakwa Kuris terpaksa bertindak demikian untuk mempertahankan diri.

Dalam pada itu, Ketua Bahagian Umno Hulu Langat, Dr Zainal enggan mengulas lanjut, sebaliknya menyerahkan kepada pihak polis untuk menyiasat. "Kalau betul berlaku demikian, saya amat kesal sekali," komennya ringkas.

DISINI TAMAT

BEBASKAN MEDIA !

KEMBALI