KE ARAH MEMBENTUK MASYARAKAT

 ADIL& BERMORAL

5000 Peguam Gesa Adili Siapa Saja Nodai Sistem Kehakiman

KUALA LUMPUR: Proses mengembalikan semula keyakinan rakyat terhadap proses keadilan negara harus dimulakan dengan membetulkan segala kesilapan di masa lalu. Menurut kenyataan  Majlis Peguam  Kuala Lumpur (KLBC), satu suruhanjaya bebas hendaklah dibentuk dengan segera untuk menyiasat segala  salah laku kehakiman yang berlaku selama ini.

KLBC menyatakan demikian dalam satu memorandum yang diserahkan kepada Ketua Hakim Negara Mohamad Dzaiddin Abdullah.  

KLBC menekankan,  suruhanjaya bebas yang perlu ditubuhkan hendaklah mempastikan tidak ada individu di negara ini yang boleh mengatasi undang-undang. Ia juga perlu memberi mesej dan pendidikan kepada rakyat bahawa sebarang kesalahan yang dilakukan tidak akan terlepas tanpa menerima sebarang hukuman.

Malah mereka yang selama ini dilihat sebagai bersekongkol menodai sistem kehakiman negara  hendaklah diadili dengan sebaiknya, termasuklah mereka yang mempunyai kedudukan dalam pentadbiran undang-undang.

Pengerusi KLBC M. Puravalen berkata, memorandum setebal 22 halaman itu turut dihantar kepada  Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Rais Yatim. KLBC mewakili kira-kira 5,000 orang peguam, yakni separuh dari bilangan anggota Majlis Peguam.

Sebahagian pengamal undang-undang negara ini dikatakan mempunyai hubungan yang tegang dengan badan kehakiman negara sejak tahun 1980-an lagi, iaitu selepas isu kontroversi pemecatan Tun Salleh Abbas, dan kisah salah laku bekas Ketua Hakim Eusoff  Chin (bercuti bersama V.K Linggam) meningkatkan lagi kekecewaan mereka serta rakyat negara ini.

“Pentadbiran keadilan di Malaysia kini berada dalam keadaan yang paling mengecewakan  sejak negara mencapai kemerdekaan. Tidak pernah selama ini rakyat begitu kecewa dengan apa yang berlaku dalam badan kehakiman seperti penyalahgunaan kuasa, rasuah dan perjalanan yang tidak cekap,”  menurut memo  berkenaan.

Memorandum itu juga mencadangkan agar badan kehakiman negara serta mahkamah di negara ini perlulah bebas supaya keadilan benar-benar dapat dilaksanakan.  

“Mahkamah mesti dibenarkan menjalankan tanggungjawabnya dalam suasana yang bebas dan tidak terikat, dengan sokongan rakyat dan institusi kerajaan yang sewajarnya serta terlepas daripada campurtangan eksekutif.”

Jika tidak, menurut memo itu, undang-undang akan gagal  untuk dimanfaatkan sepenuhnya sebagai  alat  mewujudkan keadilan dan kesejahteraan kepada negara. Keadilan bukan sahaja mesti dilaksanakan, tetapi ia juga mestilah dilihat sebagai dilaksanakan.

Mengenai perkembangan saman malu yang kini mencecah angka yang besar dan tidak munasabah, laporan itu melihat keadaan itu sebagai merencatkan usaha ke arah mewujudkan kebebasan media di negara ini. Saman malu bersifat mega itu dilihat boleh menjejaskan hak asasi manusia.

Mengenai Suhakam, memo  itu mencadangkan agar Suhakam meninjau hak  dan pembelaan yang sepatutnya diberikan kepada Orang Asli negara ini, seperti hak wanita, kanak-kanak, alam sekitar dan sebagainya. Selain Orang Asli, pembelaaan ini perlu juga ditinjau ke atas kaum-kaum minoriti lain di negara ini.

DISINI TAMAT

BEBASKAN MEDIA !

KEMBALI