Make your own free website on Tripod.com

KE ARAH MEMBENTUK MASYARAKAT

 ADIL& BERMORAL

Azizah gesa semua caj rawatan ke atas wanita digugurkan

KUALA LUMPUR: Perlindungan dan hak  ke atas wanita tidak mungkin dapat  dilaksanakan jika kerajaan yang ada bersifat tidak telus. Penyalahgunaan kuasa yang berlaku secara terang-terangan sepertimana menyalahgunakan wang  KWSP, Tabung Haji dan ASN  untuk menyelamatkan sekumpulan ahli perniagaan tertentu adalah bukti  pentadbiran tidak telus dilaksanakan.

Presiden keADILan Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, lebih 50 peratus penyimpan ASN kaum wanita. Ini akan menjejaskan pendapatan dan pulangan yang sepatutnya diterima  pencarum bagi membiayai keluarga.

Azizah berkata demikian dalam  perutusan khas sempena Hari Wanita Sedunia. Tambahnya jika kerajaan  benar-benar telus,  bukan sahaja hak wanita  terjamin, malah hak semua  rakyat akan mendapat pembelaan sewajarnya.

Menurutnya, terdapat kes  pencarum tidak dapat mengeluarkan simpanan  dan jumlah keuntungan yang dinikmati juga menurun.  Ada aduan  seorang ibu tunggal yang membeli rumah kos rendah dari DBKL tidak dapat menjelaskan wang pendahuluan pembelian itu  kerana wang berkenaan tidak dapat dikeluarkan daripada simpanan ASNnya.

Azizah juga turut mengaitkan hak asasi wanita dengan proses penswastaan. Katanya, tidak terdapat ketelusan dalam perancangan dan pelaksanaan program peswastaan itu, malah penswastaan perkhidmatan kesihatan negara masih kabur dan tidak menentu. Ini  akan memberi kesan buruk kepada wanita di negara ini yang lebih banyak menerima  rawatan. Apatah lagi jika perkhidmatan kesihatan diswastakan suatu hari nanti.

Sungguhpun sistem insurans akan diperkenalkan, tetapi tidak semua wanita  mampu membayarnya. Keadaan kesihatan wanita di negara ini semakin tidak terbela apabila sektor swasta tidak memberikan perhatian dan peruntukan yang sewajarnya terhadap kakitangan wanita mereka.

KeADILan, kata Azizah,  mendesak kerajaan agar menggugurkan semua caj yang dikenakan dalam merawat wanita. Adalah menjadi tanggungjawab kerajaan  memberikan mutu kesihatan terbaik untuk rakyatnya, dan  malang bagi sesebuah negara jika kesihatan rakyat serta beberapa keperluan asasi hidup yang lain diswastakan untuk menjaga kepentingan politik dan kemewahan pemerintah serta suku sakatnya.

BEBASKAN MEDIA !

KEMBALI