Make your own free website on Tripod.com

     

Campur tangan pentadbiran masjid
Interview dengan YB Ustaz Taib Azamuddin di ruang legar parlimen oleh wakil detikdaily pada 20 november 2000.
Oleh Wartawan Detikdaily

Boleh Ustaz jelaskan mengenai isu pentadbiran masjid yang kini menimbulkan ketegangan antara JAWI dan anak kariah masjid terbabit?

Umumnya, masyarakat Islam mengakui bahawa tidak ada satu institusi yang suci dan mulia di sisi Islam ialah institusi masjid. Semua tidak dapat menafikan. Itu kedudukannya dan dalam bahasa yang biasa pun disebut rumah Allah. Maka kedudukan dan taraf masjid itu, dari segi kesucian, kehormatannya seharusnya menjadi tanggungjawab kepada umat Islam untuk menjaganya. Dalam hal yang begini, masyarakat kita di Malaysia sedia memahami kedudukan, syarat-syarat dan peraturan tertentu mengenai dengan masjid. Menjadi harapan kita bersama supaya semua peraturan dan syarat ini dapat dipatuhi oleh masyarakat umat Islam tidak kira di mana peringkat dia berada, apa juga parti dan sebagainya. Untuk menjamin dan menghormati kesucian masjid ini, maka sejak daripada dulu masyarakat kita, khususnya masyarakat Melayu di negara ini mengadakan suatu cara yang tersendiri yang diterimapakai dan diterima oleh semua untuk melantik dan memilih jawatankuasa masjid. Sebenarnya dulu dipilih jawatankuasa masjid, termasuk jawatankuasa surau adalah dipilih dari kalangan para jamaah dan makmum tempatan, dalam kalangan anak kariah itu sendiri, dan pemilihan pula dibuat oleh orang ramai. Kenapa ianya dipilih, kerana kita hendak supaya yang boleh mengawal dan menjalankan kegiatan dan sebagainya dimasjid adalah terdiri daripada orang yang mendapat kepercayaan dari makmum dan jamaah. Sebab ahli kariah itu saja yang tahu siapa yang perlu dipilih. Orang lain daripada kariah dia tidak kenal siapa orang itu.

JAWI campurtangan kerana dikatakan masjid telah disalahgunakan oleh golongan yang menentang kerajaan…..

Apabila JK berkenaan dipilih oleh masyarakat, maka masyarakat iaitu orang ramai dan anak kariah sajalah yang tahu siapa yang berkelayakan. Ini setidak-tidaknya untuk memenuhi kehendak Allah SWT, “serahkanlah amanah itu kepada ahlinya.” Jadi pemilihan JK masjid di kalangan ahli kariah itu untuk memastikan di kalangan mereka itu, siapa yang ahli. Bukan di kalangan masyarakat umum, tapi di kalangan anak kariah, siapa yang lebih diyakini, yang lebih berupaya memakmurkan masjid. Sebab kenapa dikira dari kalangan ahli kerana JK masjid bukan saja untuk memegang jawatan, JK masjid adalah memegang amanah daripada Allah SWT. Jadi amanah Allah ini hendaklah dijalankan, salah satu yang penting ialah pengimarahan, termasuk dari sudut amal ibadah yang ditunaikan dalam masjid. Keduanya ialah menghidupkan fungsi masjid sebagaimana yang telah dilakukan Rasulullah SAW., terutamanya dari segi majlis ilmunya, pengajarannya, juga sebagai pusat kegiatan umat Islam setempat. Ini semua tanggungjawab JK masjid.

Boleh Ustaz jelaskan apa sebenarnya takrif penyalahgunaan masjid……

Mereka mengatakan bahawa JK ini dilantik kerana nak mengatasi masalah penyalahgunaan. Apabila kita takut orang menyalahgunakan, bukanlah jawapannya dengan cara kita melantik orang yang tidak disukai oleh anak kariah, kita lantik sehingga masjid itu mati. Jadi, mana rasionalnya kerana takut disalahgunakan maka kita matikan aktiviti masjid. Kenapa bila takut disalahgunakan, kita tidak pergiatkan pengimarahan yang menghidupkan fungsi sebenar masjid itu? Kalau penyalahgunaan masjid tadi terdiri daripada individu-individu yang tidak memahami fungsi masjid, maka apabila dijalankan kegiatan ilmu dan pengajiannya, maka dengan sendirinya kerja-kerja yang tak bertanggungjawab itu akan terpadam. Soalnya sekarang ialah kerana kita menterjemahkan penyalahgunaan masjid itu sendiri dengan kerana kepentingan politik kepartian, ini yang sebenarnya berlaku dalam masyarakat. Jadi kita halakan tanggungjawab untuk membenteras perkara ini kepada Jabatan-jabatan agama, agensi-agensi kerajaan yang terbabit dalam urusan agama oleh pihak yang berkepentingan dalam parti pemerintah.

Sejauhmana penguasaan orang politik dalam mengongkongi keputusan yang membabitkan pentadbiran masjid ?

Ini yang menimbulkan masalah. Pihak jabatan agama hendak menjalankan tugas mengikut tanggungjawab dia yang asal. Tapi dia diarahkan oleh pihak atasan yang kepentingan partinya lebih besar dari kepentingan pengimarahan masjid, inilah yang berlaku kecoh dalam masyarakat. Apabila usaha nak menyelamatkan parti itu lebih daripada masjid, kita dapati sekarang suatu yang tidak dapat dinafikan bahawa orang paling tidak layak menjadi JK masjid telah dilantik. Contoh tiada kelayakan ialah, pertama sekali ialah dia tidak tahu langsung tentang masjid, tidak pernah datang ke masjid. Dia sendiri fardhu ain pun tak lepas, misalnya masih mengekalkan budaya berseluar pendek. Imam yang tidak layak, tidak betul bacaannya, makhraj dan tajwidnya tapi dia juga dilantik menjadi imam. Semuanya oleh kerana kepentingan parti mereka, begitu juga dalam tugas-tugas yang lain.

Apa kesannya kepada anak makmum dan kariah masjid, terutamanya dalam usaha mengimarahkannya?

Anak makmum menganggap masjid adalah tempat untuk mereka beribadah, bagaimana mereka nak melakukan ibadah kalau yang memegang teraju adalah orang-orang yang macam ini. Bagitu juga penceramah atau pensyarah yang dikatakan baik, tidak mencampur aduk atau menyalahgunakan masjid. Nilai itu diberi hanya semata-mata dari kacamata politik sedangkan ilmu yang disampaikan oleh penceramah berkenaan tidak ada apa-apa sebab dia tidak ada kualiti seorang pendakwah. Dia tidak berkelayakan dalam apa yang dia cakapkan. Dia tida menggunakan teks dan buku-buku yang muktabar. Mereka juga adalah guru-guru yang tidak mampu memotivasikan jamaah, tidak mampu untuk elaborate ajaran Islam di dalam konteks tamadun semasa. Ini yang dikatakan baik. Sebab itu kita tengok guru yang ditakrifkan sebagai baik itu ialah guru yang hanya bercakap masalah rukun, syarat sah sembahyang daripada dulu sampai sekarang. Bercakap masalah puasa, masalah haji. Kita tak nafikan bahawa sembahyang, puasa, zakat haji itu sebagai suatu perkara yang memang dituntut dalam Islam tetapi dari segi yang lebih penting dimana kita boleh memperlihatkan kesyumulan Islam dalam hal-hal yang berkaitan kehidupan semasa. Seolah-olah apabila sebut Islam, kita melencong ke arah lain. Tapi bila bawa kepada tafsir al-Quran, tafsir hadith yang mentafsirkan masalah pengurusan, mentafsirkan masalah pentadbiran, mentafsir masalah riba, menghuraikan masalah judi, menghuraikan masalah pendidikan, menghuraikan masalah politik maka kita katakan ini orang-orang yang menentang kerajaan, menyalahgunakan masjid. Ini sebenarnya yang bagi saya apa yang dilakukan sekarang ini mereka sedang mendidik masyarakat supaya jahil dalam agama.

Apa langkah sewajarnya yang perlu diambil oleh anak kariah sekarang?

Langkah sewajarnya yang perlu diambil oleh semua pihak ialah mengembalikan semula kuasa pemilihan JK masjid kepada anak kariah supaya mudah kita didik anak kariah itu , kita tarbiah, kita beri pengajian dan pengajaran untuk dia lebih faham siapa yang patut dia pilih. Bukan kita pilih, pergi paksa suruh anak kariah terima.

Untuk mengembalikan hak kepada anak kariah, apakah ia boleh dicapai melalui usaha anak kariah semata-mata atau secara lebih berkesan lagi oleh parti-parti politik khususnya Pas?

Ya, bagi saya dari segi parti politik itu untuk memainkan peranan terkehadapan dalam hal ini kita bimbang takut disalahtafsirkan kerana yang penting disini bukan masalah parti, tetapi ialah masalah hak sebenar fungsi masjid yang mesti diperjuangkan oleh umat Islam. Jadi, sebab itu kita mengira orang Islam samada apa juga warna kulit, apa juga parti yang dia sertai tetapi kita minta umat Islam supaya kembali kepada rasional supaya institusi masjid ini boleh terpelihara. Kita juga mengharapkan agar institusi dan jabatan agama supaya mereka lebih adil dalam melaksanakan tugas. Yang baik kita patuh dan kita ikut, yang tidak baik harus beri nasihat walaupun mungkin ada pihak berkenaan yang mengarahkan begitu, perlu kita betulkan. Janganlah pula kita gunakan institusi atau jabatan itu sebagai platform untuk mengampu dan bodek kepada orang atas. Kadang-kadang pihak atasan tak suruh pun tapi kita yang lebih, bak kata orang lebih sudu daripada bubur.

Satu lagi isu yang membabitkan kepentingan umat Islam ialah ura-ura kerajaan menggunakan dana Tabung Haji untuk membeli kepentingan dalam MAS, apa pandangan Ustaz?

Pada pendapat saya, Tabung Haji kena semak semula dasar dan objektif penubuhannya walaupun kita tidak menafikan bahawa penglibatan dalam perniagaan itu sesuatu yang boleh mengembangkan lagi peranannya. Tetapi, untuk Tabung Haji peranan dan fungsinya menguruskan sejumlah wang yang terkumpul daripada simpanan masyarakat umat Islam yang nawaitu mereka yang pertama ialah untuk menunaikan haji, walaupun mungkin ada lagi tujuan-tujuan lain.

Apakah ada sebarang kesan kepada para penyimpan dalam TH, terutamanya yang memang membuat simpanan kerana hendak mengerjakan haji?

Walaupun mungkin ada dikalangan penyimpannya juga yang menyimpan kerana memenuhi syarat mesti menunaikan fardhu haji melalui TH, apa yang penting ialah mereka menabung di dalamnya. Tabungan dalam TH sebahagian besarnya adalah dibuat oleh mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana kerana bagi orang yang berpendapatan besar, mereka biasanya tidak menabung tetapi terus mencukupkan jumlah yang dikehendaki bila hendak berangkat ke Mekah. Tetapi bagi mereka yang berdikit-dikit, sampai lima enam tahun menabung baru dapat pergi haji. Jadi apabila TH terlibat dalam hal-hal perniagaan, seharusnya mereka mengambil kira jaminan tabungan golongan yang diperkatakan tadi, supaya hak umat Islam sebut ini. TH nak beli MAS sedangkan semua orang tahu kerugian yang dialami MAS. Komen Dari Ungku Aziz, pengasas TH pun minta mereka semak balik dasar dan matlamat penubuhannya. Kita tidak mahu lihat TH sebagai tukang pulih syarikat bengkrap. Apalagi TH mengambialih dengan menggunakan tabungan orang ramai yang hendak ke Mekah. Kalau betul TH mempunyai kemampuan yang lebih sekarang ini, lebih wajar digunakan untuk memperkemaskan perkhidmatan kepada jemaah haji. Umpamanya, dengan mengurangkan perbelanjaan kerja haji, subsidize kos yang perlu dibayar oleh jemaah haji.

Sedikit ulasan Ustaz tentang pelaburan ASB dan ASN yang berterusan dalam syarikat pengeluar minuman keras, perjudian dan juga perbankan riba walaupun telah beberapa kali didedahkan. Kenapa kerajaan masih mengambil sikap berdiam diri?

Inilah satu perkara yang terus menjadi tanda tanya kepada kita. Pihak mufti, JK fatwa dan pihak berkaitan tidak patut dipersalahkan sebab kita tahu dan faham bahawa mereka, pihak JK Fatwa Kebangsaan dan negeri contohnya telahpun menjalan dan menunaikan tugas mereka untuk menjelaskan kepada masyarakat umum samada perkara ini baik atau tidak. Mereka telah memutuskan bahawa kalau sekiranya pelaburan berkenaan terbabit dengan sesuatu yang haram, walaupun sedikit maka hukumnya haram. Kalau sekiranya kita bersihkan perkara yang haram daripada pelaburan terbabit maka ia akan jadi halal. Soalnya sekarang ialah sejauhmana amanahnya pihak yang terlibat secara langsung dengan ASN dan ASB termasuk kerajaan sendiri untuk membersihkan pelaburan ini dari perkara yang haram. Kalau kedudukan perkara ini boleh diakui oleh kerajaan dan pihak berkenaan, bahawa ia tidak terlibat dengan pelaburan haram, maka tidak menjadi masalah untuk meminta supaya umat Islam seluruhnya untuk terlibat menyokong ASN atau ASB. Apa yang kita minta supaya jangan kerana kepentingan tertentu, maka mereka cuba berdolak-dalik untuk menghalalkan perkara yang jelas haram. Kita mesti amanah terhadap hukum Allah SWT.

Akhir sekali, secara umumnya apakah pendirian dan strategi PAS dalam menangani segala permasalahan yang melibatkan kepentingan umat Islam ?

Apa yang kita hendak tegaskan pendirian kita bukannya masalah menyokong atau menentang. Kita akan turut menyokong apa saja jelas baik dan kita terpaksa untuk tidak menyokong bukan kerana selera atau kepentingan peribadi, tetapi kerana kehendak hukum Islam itu sendiri tidak mengizinkan untutk kita menyetujui atau menyokong kepada perkara yang bercanggah dengan Islam.


PENERBITAN PEMUDA
24G, Jalan 4/21D, Medan Idaman, Gombak
53100 Kuala Lumpur
Tel : 03-40243530 Faks : 03-4630372
lutfi_detik@hotmail.com

"DETIK DAN Al - WASILAH SUDAH MATI!
HALANG PENCABULAN KDN TERHADAP KEBEBASAN MEDIA"