Make your own free website on Tripod.com

     

Wang Tabung Haji untuk
selamatkan kroni

Oleh Wartawan Detikdaily

23 Nov, Kuala Lumpur Wang minyak dalam Petronas telah " dikendurikan " untuk menyelamatkan beberapa syarikat kroni dan kini tiba giliran wang rakyat dalam Tabung Haji pula untuk " difaraidkan " untuk tujuan yang sama.

Kebimbangan terhadap kemungkinan wang para petani, nelayan ,penoreh getah, guru-guru, kerani, peniaga kecil, para pesara kerajaan, pekerja kilang, para professional dan cendiakawan beragama Islam yang disimpan untuk tujuan mengerjakan rukun Islam kelima akan digunakan untuk tujuan " bailout " atau menyelamat kroni, projek dan syarikat yang nazak telah timbul sejak dua tahun lalu.

Bagaimanapun kebimbangan itu hanya tinggal sebagai spekulasi atau dakwaan kosong sahaja kerana terbukti tiada sesenpun wang Tabung Haji digunakan operasi menyelamatkan syarikat atau memulihkan ekonomi negara.

Tetapi kebimbangan itu kemungkinan akan bertukar menjadi kenyataan tidak lama lagi jika Tabung Haji mengikut telunjuk kerajaan yang mahukannya membeli sebahagian ekuiti dalam Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS).

Laporan akhbar 13 November lalu memetik kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Abdul Hamid Othman yang menyatakan Tabung Haji bersedia untuk membeli saham MAS jika ditawarkan selaras dengan rancangannya untuk memiliki kapal terbang bagi perkhidmatan haji.

Jika Tabung Haji menyambut sebarang tawaran untuk memiliki ekuiti dalam MAS, pastinya ia akan mengundang kontroversi. Ekuiti milik siapa yang akan ditawarkan kepada Tabung Haji? Pastinya saham-saham yang kini dimiliki oleh Pengerusi MAS, Tan Seri Tajuddin Ramli.

Tajuddin kini memiliki 29.09 peratus saham MAS menerusi syarikat pelaburannya, naluri Sdn Bhd. Beliau membeli ekuiti MAS itu daripada Bank Negara Malaysia beberapa tahun lalu. Sebanyak 10 peratus lagi dikuasai oleh Agensi Pelabuan Brunei dan bakinya dikuasai oleh kerajaan, pelabur institusi dan individu menerusi pasaran terbuka di pasaran saham.

MAS kini sedang berura-ura untuk menyusun semula operasinya dan ini melibatkan program membawa masuk ekuiti dan kepakaran pengurusan asing. Syarikat penerbangan ini perlu disusun semula kerana menangggung hutang yang banyak - kira-kira RM1 bilion selain dari kerugian besar. Pada tahun lalu sahaja ia kerugian lebih RM200 juta.

Tajuddin menghadapi masalah untuk menglangsaikan beban hutang tersebut selain daripada perlu melunaskan hutang-hutang peribadi. Ini mendesak beliau untuk mejual pegangannya dalam MAS secepat mungkin. Spekulasi di pasaran saham mengatakan harga yang diminta oleh Tajuddin ialah tidak kurang dari RM7 sesaham.

Beberapa syarikat penerbangan asing seperti Quantas, KLM dan Swissair dikatakan berminat untuk mengambil ekuiti dalam MAS tetapi akhirnya membatalkan hasrat mereka kerana tidak setuju dengan penglibatan " saham emas " kerajaan di dalam syarikat penerbangan tersebut.

Ini menyebabakan kerajaan baru-baru ini menyatakan kesediaannya untuk melepaskan " saham emas " nya dalam syarikat penerbangan itu jika ia menjadi penyebab kepada keengganan pelabur-pelabur asing untuk menyertai MAS.

Minda yang mencadangkan penubuhan Tabung Haji, Professor Diraja Ungku Aziz yang mengulas cadangan menjual MAS kepada agensi itu telah membantah keras cadangan tersebut.

Katanya, Tabung Haji tidak boleh digunakan utnuk menyelamatkan syarikat-syarikat yang tenat kerana tujuan penubuhannya adalah untuk menyediakan perkhidmatan kepada bakal-bakal haji.

" Tabung Haji bukannya Bulan Sabit Merah untuk menyelamatkan syarikat-syarikat yang telah tenat, lagipun kerajaan ada banyak lagi agensi seperti pengurusan Danaharta Nasional untuk melakukannya," tegas beliau dalam akhbar Utusan Malaysia Selasa lalu.

Beliau juga mengibaratkan jika Tabung Haji membeli MAS samalah seperti membeli dusun durian untuk memakan durian sedangkan durian di pasar lebih banyak dan murah.

Sewajarnya kerajaan dan saf kepimpinan Tabung Haji memikirkan semasak-masaknya cadangan ini. Jangan keghairahan atau desakan untuk menyelamatkan syarikat atau kroni tertentu mengatasi kepentingan komersial dan sosial yang ada pada organisasi pengurusan jemaah haji ini.

Tidak salah bagi Tabung Haji untuk mempelbagaikan pelaburannya tetapi janganlah ke sektor yang berisiko tinggi atau dalam syarikat yang sedang tenat. Kedudukan perniagaan dan kewangan MAS patut diambilkira dalam membuat keputusan muktamad. Kita tidak mahu Tabung Haji terjerumus ke dalam kerugian semata-mata kerana tersilap perhitungan dalam pelaburan barunya.

Para penganalisis kewangan juga berpendapat adalah tidak wajar untuk Tabung Haji membeli ekuiti MAS semata-mata kerana ia mahu memiliki kapalterbang sendiri untuk mengangkut jemaah haji pada musim haji.

" Tambahan pula urusan pengangkutan jemaah haji bukannya penyumbang utama kepada pendapatannya kecualilah jika ia merancang untuk membesarkan operasinya dalam sektor haji dan umrah, " ujar seorang penganalisis di sebuah syarikat pengurusan asset.

Tabung Haji kini menguruskan kira-kira 24,000 jemaah hajinya setiap tahun. Sebanyak 50 peratsu daripada kontrak penerbangan jemaah ke tanah suci diberikan kepada syarikat penerbangan tempatan (MAS atau Transmile Airline) dan bakinya kepada Saudi Air di bawah program khas dengan kerajaan Arab Saudi.

Tabung Haji kini mempunyai 13 syarikat yang melabur dalam sektor hartanah, perladangan, pengangkutan dan ziarah serta teknologi maklumat dan pelabuhan.

Penganalisis itu menambah, Tabung Haji perlu sedar bahawa perniagaan penerbangan bukannya mudah. Persaingan dan risikonya sangat tinggi .

Perniagaan yang diceburi oleh MAS ini adalah satu bidang yang amat sukar, memerlukan modal berbilion ringgit dan pengurusan yang berpengalaman bagi memastikannya mendatangkan keuntungan. Tajuddin yang pintar dan licik akhirnya tewas, bagaimana pula pengurusan Tabung Haji yang konservertif ini dapat mengatasinya.

Malahan dari segi teorinya, adalah tidak berapa baik untuk melabur dalam MAS sekarang kerana syarikat itu sedang menghadapi masalah kewangan di samping kenaikan mendadak dalam kos operasinya serta kekurangan trafik.

Tabung Haji perlu ingat, operasinya setiap tahun hanya mendatangkan keuntungan antara RM200 juta - RM400 juta sahaja. Kos membeli ekuiti MAS, kalaupun setakat 29 perataus sahaja dijangka melebihi RM1 bilion. Berapa jumlahnya kalau Tabung Haji mengambil ekuiti majoriti?

Kerugian yang ditanggung oleh MAS pula lebih RM200 juta, tidakkah ini akan memberi kesan besar kepada keuntungan kumpulannya jika ia menguasai majoriti ekuiti syarikat penerbangan itu.

Mungkin ada yang akan berhujah bahawa MAS tidak selamanya akan menanggung kerugian. Tetapi apakah ada jaminan bila syarikat ini akan dapat dipulihkan?

Tabung Haji yang ditubuhkan pada 1962 lalu kini mempunyai hampir 4 juta orang penyimpan dan jumlah deposit lebih RM8 bilion, menjadikannya agensi awam ketika terbesar di negara ini selepas KWSP dan Petronas. Oleh itu tanggungjawabnya terhadap para penyimpannya sangat besar.

Sebagai sebuah organisasi yang pada awalnya tidak berorenastikan keuntungan, mungkin Tabung Haji perlu kembali kepada asasnya. Imej dan nama baik Tabung Haji di negara ini dan seluruh dunia jangan dicemar dengan tindakan desprado kerajaan.

Ini bukanlah kali pertama pelaburan Tabung Haji mencetuskan kontroversi. Kali pertama ialah pada tahun 1989 dulu bila ia memiliki 10 peratus ekuiti dalam MAS. Bagaimanapun pengangan itu terpaksa dijual bila timbul isu penjualan arak dalam penerbangan MAS yang bertentangan dengan dasar perniagaannya yang berlandaskan prinsip-prinsip Islam.

Agensi ini sekali lagi dipertikaikan kebijaksanaannya beberapa tahun bila ia menyertai pelaburan dalam projek infrasruktur ERL (keretapi laju) yang menghubungkan Kuala Lumpur dengan KLIA.

Tabung Haji telah menandatangani perjanjian usahasama dengan YTL Corporation untuk membangunkan projek tersebut. Ia menguasai 60 peratus ekuiti projek itu dan YTL 40 peratus lagi. Kos projek ERL itu ialah RM2.4 bilion. Dengan pegangan sebanyak 60 peratus, Tabung Haji perlu melabur RM1.4 bilion dalam projek tersebut. Satu jumlah yang sangat besar sedangkan dayamaju projek itu belum dapat ditentukan.

Projek tersebut tertangguh beberapa kali dan kini dalam proses pembinaan. Kira-kira 40 peratus daripada kerja asasnya telah siap. Konsortium ERL menjangkakan KLIA akan mengendalikan 18 juta penumpang bila projek ini siap dalam tempoh dua tahun lagi dan 14,000 orang akan menggunakannya untuk berulang alik dari KLIA ke Kuala Lumpur.

Seorang pakar pengangkutan awam menyifatkan jangkaan itu terlalu optimistik lebih-lebih lagi setelah melihat banyak syarikat penerbangan asing seperti Lufthansa dan Quantas menghentikan operasi ke KLIA. British Airways juga akan menamatkan penerbangannya ke KLIA pada 1 April depan.

" Tambahan pula projek-projek infrastruktur yang berkaitan dengan keretapi laju atau transit ringan yang ada di ibu kota - LRT PUTERA dan STAR gagal mencapai jangkaan penumpang yang diharapkan hingga mengalami masalah kewangan, jadi jangkaan penumpang ERL yang besar itu dirasakan tiak menyakinkan," kata pakar tersebut.

Tambahnya Tabung Haji perlu mengkaji kebijaksanaan pelaburannya dalam projek ERL sebelum memperluaskan pelaburan ke sektor penerbangan udara yang jauh lebih tinggi risikonya.

Jangan tersilap langkah kerana wang penyimpan yang ada di dalam Tabung Haji adalah satu amanah besar. Tabung Haji mesti menjauhkan diri dari sebarang skandal.

Para penyimpan Tabung Haji pula mesti bertindak bijak untuk memastikan wang mereka tidak difaraidkan untuk tujuan yang bertentangan dengan kehendak Islam. Mereka mesti bersuara lantang menentang sebarang penyalahgunaan deposit mereka terutamanya melibatkan usaha-usaha untuk " membailout " para kroni.

Kerajaan pula mengapa tidak mencari alternatif lain? Sudah ketandusan puncakah atau sememangnya pelabur asing meminggirkan negara ini.


PENERBITAN PEMUDA
24G, Jalan 4/21D, Medan Idaman, Gombak
53100 Kuala Lumpur
Tel : 03-40243530 Faks : 03-4630372
lutfi_detik@hotmail.com

"DETIK DAN Al - WASILAH SUDAH MATI!
HALANG PENCABULAN KDN TERHADAP KEBEBASAN MEDIA"