Make your own free website on Tripod.com

     

Semakin Mahathir yakin dengan mahkamah, semakin curiga rakyat terhadap ketelusan perbicaraan

Oleh PARAM CUMARASWAMY

Beberapa minggu lalu Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata, berhubung kes perbicaraan Anwar Ibrahim: “Perbicaraan bekas timbalan perdana menteri, Anwar Ibrahim, mengambil masa setahun dan dikendalikan dalam bahasa Inggeris … dan Anwar dibela oleh sembilan orang peguam terbaik … dan mereka masih kata perbicaraan itu tidak mengikut proses yang betul … saya tidak faham apa yang mereka maksudkan dengan tidak mengikut proses yang betul.”

Proses yang betul, yang di dalamnya terdapat hak untuk dibicarakan secara adil tidak diukur mengikut lamanya masa perbicaraan atau ramainya jumlah peguam, walau bagaimana terkenal sekalipun, yang membela si tertuduh, dan bahasa yang digunakan sewaktu perbicaraan.

Hak untuk dibicarakan secara adil di bawah undang-undang antarabangsa, malah di bawah undang-undang Malaysia sendiri, melibatkan prosedur penting yang lain. Yang paling penting di antaranya ialah mahkamah perbicaraan mestilah benar-benar bebas dan tidak memihak dan selain itu, ia juga mesti dilihat bebas. Begitu juga dengan mahkamah yang mengendalikan urusan rayuan.

Ramuan penting yang lain pula ialah, si pihak tertuduh mesti diberi hak untuk memanggil dan menyoalsiasat para saksi, sama seperti hak yang diberikan kepada pihak pendakwa. Dalam erti kata lain, kesamaan hak perlu untuk menjamin perbicaraan yang adil. Sekiranya asas penting ini tidak jelas dalam satu-satu perbicaraan, walaupun prosedur undang-undang yang lain dipenuhi, si tertuduh tidak boleh disifatkan telah melalui proses perbicaraan yang betul atau dibicarakan secara adil.

Kejadian yang berlaku sebelum dan juga sepanjang proses perbicaraan Anwar Ibrahim sememangnya membangkitkan persoalan dan terus menjadi tanda tanya -- sama ada syarat penting bagi menghasilkan perbicaraan yang adil dipenuhi.

Inilah puncanya yang menimbulkan syak wasangka di kalangan masyarakat dalam negara ini dan juga di peringkat antarabangsa terhadap keadilan proses kedua-dua perbicaraan yang dijalankan. Sikap kerajaan yang berulang-ulang menyatakan keyakinan mereka terhadap perbicaraan itu mengukuhkan lagi sangkaan tersebut.

Pihak kerajaan sepatutnya menjadikan pandangan Menteri Kanan Singapura Lee Kuan Yew yang terkejut mengenai sikap curiga masyarakat Malaysia terhadap kenyataan dan tindakan kerajaan sebagai satu peringatan.

Asas kepada hak asasi manusia

Perlu diingat bahawa hak untuk dibicarakan secara adil merupakan asas kepada hak asasi manusia yang termaktub dalam semua piagam hak asasi manusia, sama ada di peringat antarabangsa ataupun di peringat serantau, bermula dari Peristytiharan Hak Asasi Manusia 1948.

Apabila hak ini dinafikan atau dilihat berada dalam bahaya, maka setiap orang mempunyai hak, sama ada secara individu atau berkumpulan (berorganisasi), untuk memprotes secara aman, dan mendesak pihak yang berkuasa supaya melindungi hak tersebut.

Periystiharan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Pelindungan Hak Asasi Manusia 1998 mewajibkan kerajaan Malaysia memberi ruang kepada protes aman dan memberi perhatian kepada tuntutan yang dibuat. Menghalang protes aman melalui tindakan polis dengan alasan perhimpunan yang diadakan tidak mendapat permit polis bukanlah satu cara yang betul. Sekiranya permit polis diperlukan, keluarkan permit dan biarkan demokrasi menyerlah.

Mengenai protes masyarakat antarabangsa; pada hari ini, tidak ada sebuah negara pun, sama ada kecil atau besar, kuat ataupun lemah, dapat bebas daripada kritikan masyarakat antarabangsa mengenai pencabulan hak asasi manusia. Menggunakan isu kedaulatan negara untuk melindungi diri daripada dikritik bukanlah satu cara yang sesuai buat masa sekarang. Kaedah itu hanya sesuai digunakan pada masa lampau.


Param Cumaraswamy adalah Wakil Khas Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Kebebasan Hakim dan Peguam.

PENERBITAN PEMUDA
24G, Jalan 4/21D, Medan Idaman, Gombak
53100 Kuala Lumpur
Tel : 03-40243530 Faks : 03-4630372
lutfi_detik@hotmail.com

"DETIK DAN Al - WASILAH SUDAH MATI!
HALANG PENCABULAN KDN TERHADAP KEBEBASAN MEDIA"