Make your own free website on Tripod.com

     

Puteri Islam ada kaitan dengan Sisters In Islam?
hanya bersifat indah khabar dari rupa
Oleh Wartawan Detik

Penubuhan Puteri Umno dilihat sebagai usaha sebuah parti yang kehilangan pengaruh di kalangan orang Melayu untuk menarik perhatian generasi muda, tetapi hanya bersifat indah khabar dari rupa.

AJK PAS Pusat, Dr Lo’lo’ Ghazali berkata, semua orang maklum, apa saja perubahan dikemukakan Umno, ia adalah sandiwara semata-mata, demi memastikan survivalnya, bukan memikirkan kepentingan rakyat.

“Bukankah Wanita Umno boleh mencakupi semua peringkat umur dalam Umno? Dan tidak mustahil, berdasarkan respons awal pemimpin Wanita, akan berlaku keretakan ketara antara Wanita dan Puteri. Kalau masalah umur pun tidak dapat diselesaikan, apatah lagi isu-isu lain yang lebih mencabar,” katanya.

Beliau membandingkan apa yang berlaku ke atas program Rakan Muda yang kemudiannya menemui kegagalan. “Iklannya sahaja memakan belanja jutaan ringgit, pelbagai program dilancarkan. Akhirnya apa manfaat buat orang muda selepas jutaaan wang rakyat dihanguskan. Dan mungkin Puteri Umno juga akan berdepan nasib yang sama. Ini kerana tiada keikhlasan dalam menjayakan program untuk anak muda.”

Lebih malang lagi, kata Dr Lo’lo’, orang yang beria-ia mencadangkan Puteri Umno dikenali dekat dengan golongan yang begitu lantang memperlekeh dan meremehkan persoalan hukum Islam, malah bangga kerana tidak memakai tudung.

Beliau kemudiannya turut mengulas pandangan Sisters In Islam, yang menurutnya begitu jauh menyeleweng daripada ijma’ ulama yang diputuskan sejak golongan salaf lagi.

“Soalnya mengapa mereka begitu biadap mempertikaikan hukum Islam? Saya rasa ia disebabkan kerana kerajaan BN sendiri yang menggalakkan. Lihatlah bagaimana pandangan mereka boleh disiarkan semuka penuh akhbar harian pro-Umno. Apa istimewanya golongan ini? Siapa mereka sebenarnya? Apa motif mereka? Siapa di belakang mereka?” tambah Dr Lo’lo lagi.


PENERBITAN PEMUDA
24G, Jalan 4/21D, Medan Idaman, Gombak
53100 Kuala Lumpur
Tel : 03-40243530 Faks : 03-4630372
lutfi_detik@hotmail.com

"DETIK DAN Al - WASILAH SUDAH MATI!
HALANG PENCABULAN KDN TERHADAP KEBEBASAN MEDIA"