Make your own free website on Tripod.com

     

Royalti minyak sebagai gelombang
kedua kebangkitan rakyat
Interviu wakil DETIKDAILY dengan Ahli Parlimen PAS Kuala Terengganu, Dr SYED AZMAN SYED AHMAD NAWAWI
Oleh Wartawan Detikdaily

Berikut adalah interviu wakil DETIKDAILY dengan Ahli Parlimen PAS Kuala Terengganu, Dr SYED AZMAN SYED AHMAD NAWAWI, di bangunan Parlimen, 1 November lalu.

Berdasarkan perkembangan isu royalti, seolah-olah timbul kekeliruan pentafsiran terhadap peruntukan undang-undang berkaitan. Ku Li umpamanya dalam akhbar hari ini menafikan langsung hak kerajaan negeri, yang jelas bercanggah dengan peruntukan dalam Akta Kemajuan Petroleum 1974 menggantikan Akta Perlombongan Petroleum 1966?

Perkara ini sebenarnya bukan kekeliruan, tetapi sengaja dikelirukan oleh pemimpin Umno sekarang berikutan keputusan pilihanraya 1999. Perkara itu jelas, sebagaimana yang ditegaskan dalam parlimen semalam, kenyataan dari almarhum Tun Razak sendiri yang begitu jelas menyebut, ‘Tuan Yang diPertua, semua negeri di Malaysia melainkan Sabah dan selangor telah menandatangani perjanjian dengan Petronas sebagaimana yang dikehendaki mengikut Akta kemajuan Petroleum 1974. Saya diberitahu kerajaan negeri Selangor pun telah bersetuju menandatangani perjanjian ini. Mengikut perjanjian itu tiap-tiap negeri akan menerima 5% daripada nilai petroleum yang dijumpai dan diperolehi di negeri masing-masing samada yang diperolehi dalam kawasan perairan atau diluar perairan negeri tersebut yang dijual oleh Petronas ataupun agensi-agensi atau kontraktor-kontraktornya’. Kalau diteruskan perbahasan mengenai perkara-perkara teknikal, sampai bila pun tak akan selesai kerana undang-undang boleh dibuat macam-macam pentafsiran. Cuma apa yang kita perkatakan, apa yang mereka lakukan ialah suatu tindakan yang tidak beretika.

Jadi persoalan yang timbul sekarang ialah macamana langkah kerajaan Pas di Terengganu hendak mendapatkan hak ke atas royalti yang sepatutnya diperolehi berdasarkan apa yang disebut tadi, dalam keadaan kebebasan mahkamah dimaklumi hampir tidak ada, apalagi Umno telah menggunakan kedudukan politiknya untuk menafikan hak berkenaan?

Setakat ini, apa yang telah dilakukan oleh Pas kita kira amat wajar dan kesannya begitu besar, bukan saja di negeri Terengganu tapi di seluruh Malaysia. Kita membawa isu ini kepada rakyat akibat daripada apa yang disebutkan tadi, hilangnya keyakinan bukan sahaja di kalangan pemimpin-pemimpin Pas tetapi pelbagai lapisan masyarakat terhadap perjalanan sistem perundangan di negara kita. Akibat dari krisis keyakinan yang berlaku pada hari ini, Pas sendiri tidak ada pilihan melainkan kita membawa isu ini kepada rakyat. Biar rakyat yang jadi hakim, rakyatlah yang akan buat keputusan. Melalui sistem demokrasi, melalui pilihanraya 2004 ini. Kita sanggup tunggu, 3 atau 4 tahun akan datang, kita akan tetap menghormati prinsip-prinsip demokrasi. Itu yang kita tekankan.

Antara asas dakwaan Umno/BN kenapa rampasan itu dibuat ialah Pas dikatakan telah tidak menyalurkan sepenuhnya wang rayalti sebanyak RM432juta itu untuk rakyat. Malah dakwaan dari Datuk Idris Jusoh, wang itu telah diselewenmgkan termasuklah yang melibatkan aktiviti pembalakan. Apakah asas-asas dakwaan sebegini akan mendapat sambutan dan diterima rakyat?

Saya yakin tidak, sebab itu satu pembohongan yang besar kerana akaun mana-mana kerajaan negeri boleh diaudit pada bila-bila masa oleh Jabatan Audit Negara, dengan peruntukan-peruntukan tertentu. Kalau nak audit kerajaan negeri terengganu, besok pun dia boleh datang audit, kerana memang ada peruntukan yang membenarkannya. Perjalanan (kewangan) sesebuah kerajaan itu, ada akaun-akaunnya, ada pegawai kewangannya. Nak keluarkan seringgit pun mesti ada catitannya. Semuanya mesti berjalan mengikut saluran yang terdapat dalam sesebuah kerajaan, jadi apa yang mereka katakan itu adalah satu propaganda untuk memburuk-burukkan Pas. Audit atau BPR pada bila-bila masa boleh siasat samada RM432juta tadi diselewengkan atau tidak..

Dalam konteks penjelasan antara kerajaan negeri dengan jabatan audit atau dengan pihak pusat mungkin jelas. Tetapi bagaimana dengan rakyat kerana perkembangan isu ini terlalu cepat dan Pas pula tidak mempunyai saluran media yang mantap dan luas sebarannya. Apakah dengan hanya membuka pintu kepada audit dan BPR akan dapat menjelaskan kepada rakyat untuk mereka menilai apa sebenarnya berlaku?

Rakyat telah dan sedang membuat penilaian mengenai isu penarikan royalti ini sebenarnya. Kita telah membuat berbagai-bagai polisi, program dan projek yang mesra rakyat. Kita turun kepada rakyat dan memulangkan balik kepada rakyat apa yang sepatutnya. Kita menghapuskan tol jambatan, cukai pintu, melaksanakan pembahagian rumah murah tanpa mengira fahaman politik atau kaum, siapa yang layak kita akan beri. Kita juga mengenalpasti kawasan tertentu didaerah-daerah untuk dikenalpasti, diberi tanah-tanah kepada mereka yang perlukan tapak rumah, terutama yang miskin. Banyak lagi program yang kita rencanakan untuk rakyat, yang sekian lama dinafikan hak yang sepatutnya mereka nikmati. Kita naikkan kadar bantuan kepada golongan miskin, walaupun belum sampai setahun kita memerintah. Bagaimanapun kita perlu melihat isu ini secara lebih menyeluruh. Apa yang berlaku ini ialah politik belas dendam kerana Umno tidak boleh menerima hakikat mereka sememangnya ditolak oleh rakyat.

Berbalik kepada pentadbiran kerajaan Pas Terengganu, kenyataan dari pimpinan negeri menunjukkan royalti menyumbangkan antara 75% hingga 80 % pendapatan tahunan. Kalau sekatan berterusan, untuk menghadapi 2 atau 3 lagi belanjawan menjelang 2004, tidakkah memberi kesan negatif terutamanya komimen atau janji kerajaan negeri untuk memenuhi hak-hak rakyat?

InsyaAllah, saya rasa dengan penerangan yang kita berikan kepada rakyat, kita yakin rakyat negeri Terengganu lebih memahami apa yang berlaku. Sebab itulah sambutan yang diberikan adalah solid setakat ini. Mereka berdiri teguh dibelakang kerajaan negeri dan melihat apa yang berlaku adalah suatu kezaliman yang dikenakan oleh Umno dan BN. Rakyat menilai perkara ini dan mereka memahaminya. Tapi, sebagaimana yang diperkatakan memanglah rancangan-rancangan kita untuk mengmbalikan hak rakyat agak terbantut bila berlaku rampasan ini. Kita akan bergerak dengan apa yang ada, with very tide budget, InsyaAllah kita boleh berikan sesuatu kepada rakyat dan membuktikan kita mampu memerintah dengan baik dan telus.

Apakah pimpinan negeri boleh menerima tekanan yang ditimpakan oleh BN dan seterusnya menunggu 2004 untuk berlakunya perubahan. Andainya BN belum dapat ditewaskan pada masa itu, apa akan jadi dengan royalti pada masa itu. Nilai tahunannya mungkin menjangkau ribuan juta ringgit setahun, berdasarkan peningkatan harga minyak di pasaran dunia?

Pertamanya, kita tidak pernah redha dengan apa yang mereka lakukan ini, selagi hak rakyat dan kerajaan negeri tidak dikembalikan. Kedua, penting untuk kita lihat langkah yang telah diambil kerajaan negeri hari ini khususnya dan Pas serta BA amnya. Kita ada perancangan jangkapendek dan jangkapanjang bagimana kita hendak menghadapi perkara-perkara ini. Satu jawatankuasa khas telah ditubuhkan sejal awal krisis ini berlaku, samada di peringkat negeri dan juga pusat untuk melihat secara lebih menyeluruh langkah-langkah yang perlu kita ambil. InsyaAllah, dengan kekuatan yang ada, setiap langkah yang kita ambil itu akan mampu memberikan satu natijah yang besar.

Dengan tidak membawa isu royalti terengganu ke mahkamah, apakah dikira akta Kemajuan Petroleum 1974 itu akan dikekalkan atau akan digubal semula untuk mengesahkan penafian hak kerajaan negeri Terengganu?

BN boleh buat apa saja kerana memiliki majoriti dua pertiga di parlimen. Persoalannya ialah politik balas dendam, kalau dulu di Kelantan sekarang di Terengganu. Kekalahan di Terengganu menjejas teruk imej Umno, kerana jumlah orang Melayu di Terengganu dan Kelantan tidak kurang 2.5 juta orang. Ini satu tamparan hebat kepada Umno/BN. Tentang penggubalan undang-undang itu hak mereka kerana mereka berkemampuan melaksanakannya di Parlimen.

Laporan akhbar The Sun ada menyebutkan usaha kerajaan negeri mendapatkan khidmat perunding bagi mencari lain-lain hasil bumi yang boleh menyumbang kepada pendapatannya. Sejauhmana perkembangan usaha tersebut?

Proses ini sedang berjalan dan potensinya dikira amat baik. Dengan bahan-bahan mentah yang ada, InsyaAllah dengan berkat usaha kita yakin akan ada penemuan-penemuan baru, yang boleh memberi kebaikan bukan sahaja kepada negeri tetapi lebih penting kepada rakyat negeri Terengganu. Kajian-kajian lanjut masih terus dijalankan….

Ada pihak yang berpendapat, isu royalti minyak merupakan acid test kepada BN iaitu untuk mengukur respons pembangkang terhadap tekanan-tekanan yang dikenakan oleh mereka. Berdasarkan pendapat berkenaan, jika pendekatan ini diambil oleh kerajaan negeri Terengganu maka keputusannya BN bebas untuk melakukan apa saja?

Tindakan yang mereka ambil ini, bagi saya boleh dianggap digging their own grave. Rakyat terutamanya generasi muda adalah golongan berpendidikan yang boleh menilai antara kebenaran dan kebatilan, perjanjian atau MOU, pemimpin jujur ataupun pembohong. Saya yakin kalau pemimpin Umno dan BN terus bertindak melanggar undang-undang, mencabul konsep federalisme dan menghalang proses demokrasi, masanya akan sampai. Lambat-laun rakyat akan bangkit menyatakan sikap mereka. Kita yakin masa bersama kita, InsyaAllah. Dengan sokongan dan dokongan oleh rakyat yang amat baik terutamanya sambutan terhadap pimpinan Pas amat luarbiasa, seolah-olah suasana pilihanraya. Kita menaruh harapan besar dengan kesedaran rakyat kerana tindakan balas kita setakat ini amat berdiplomasi, walaupun mereka merampas hak royalti tanpa sebarang surat rasmi, bahkan sampai hari ini. Kita hanya tahu dari kenyataan akhbar, sebagaimana kenyataan Rais yatim semalam. Kita menghadapi suasana ini dengan lembut dan diplomatik kerana kita yakin rakyat bersama dengan kita dan memahami perkara sebenar.

Dalam keadaan tiga individu yang terlibat langsung dengan perjanjian iaitu Ku Li, Wan Mokhtar dan Salleh Abas masih ada, Umno nampaknya telah membuat satu penafian terhadap bukti-bukti sejarah. Pada pandangan Dr. mengapakah mereka begitu berani sekali bertindak untuk merampas Terengganu?

Umno sekarang ini sebenarnya sedang memperjudikan nasib mereka. Walaupun mereka ingat dengan tindakan itu mereka boleh merampas semula Terengganu, tetapi kita yakin over-spillnya lebih besar ke negeri lain seperti Kedah, Pahang dan Selangor yang berpotensi besar untuk kita ambil-alih dengan swing yang sedikit sahaja. Ini akan membolehkan kita mendapatkan satu keputusan yang lebih baik dalam pilihanraya akan datang.

Selain daripada itu apakah langkah-langkah lain yang boleh diambil kerana tindakan-tindakan daring Umno ini berlaku dalam era kepimpinan Mahathir, bagaimana kalau sekiranya berlaku peralihan kuasa dalam Umno?

Ya, banyak pihak menjangkakan era post-Mahathir corak politik di negara kita akan berubah. Suasana yang akan wujud adalah suatu yang berlainan. Saya sendiri bersetuju post-Mahathir akan menyaksikan satu perubahan besar dalam konteks politik negara kita hari ini. Dalam Umno sekarang ini, jurang antara Mahathir dan pemimpin lain dalam Umno terlalu amat jauh. Permasalahan dalaman Umno dan arus yang ada dalam masyarakat sekarang ini akan memberi impak yang besar kepada perubahan-perubahan dalam era tersebut.

Kita melihat ada satu gambaran keyakinan bahawa dengan menangani isu royalti minyak, samada dengan Terengganu diberikan haknya ataupun dinafikan hak tersebut oleh Umno/BN kelebihan akan tetap berpihak kepada Pas. Isu royalti nampaknya berupaya untuk mencorakkan perubahan 2004 dan seterusnya membentuk senario politik baru di negara ini.

Saya selalu menyebut bahawa isu royalti ini ada hikmahnya. Selepas isu DSAI yang saya selalu istilahkan sebagai gelombang pertama perubahan dan reformasi rakyat, isu royalti ini saya istilahkan sebagai gelombang kedua yang akan menjadi salah satu pemangkin kepada perubahan yang lebih besar dan menyeluruh di Malaysia ini. InsyaAllah dengan gelombang kedua ini, kita yakin perubahan yang besar akan berlaku dalam pilihanraya akan datang sekiranya ruang-ruang demokrasi di negara kita masih lagi dihormati, walaupun terhad. Kebimbangan kita adalah terhadap pemerintah yang ada sekarang, the wounded tigers yang boleh melakukan apa sahaja untuk menentukan survivalnya. Jadi kita harap dengan kekuatan yang ada pada Pas dan BA, kita dapat menghadapi suasan tersebut dan membentuk masa depan politik Malaysia yang lebih telus, bersih dan berupaya memajukan rakyat berbilang kaum yang ada di negara kita.


PENERBITAN PEMUDA
24G, Jalan 4/21D, Medan Idaman, Gombak
53100 Kuala Lumpur
Tel : 03-40243530 Faks : 03-4630372
lutfi_detik@hotmail.com

"DETIK DAN Al - WASILAH SUDAH MATI!
HALANG PENCABULAN KDN TERHADAP KEBEBASAN MEDIA"