Make your own free website on Tripod.com

     

Perhimpunan 100,000 rakyat buktikan Anwar tetap mekar di hati rakyat
Saya seakan-akan tidak percaya melihatkan sambutan rakyat
Oleh Ibu Muda

Saya seakan-akan tidak percaya melihatkan sambutan rakyat terhadap program menuntut hak rakyat oleh 100,000 orang semalam. Air mata saya mengalir, tanda kegembiraan yang amat sangat.

Masakan tidak, berdepan gas pemedih mata dan pancutan air gatal, rakyat prihatin terus mara. Benar sekali, apabila kebenaran menjadi akar tunjang perjuangan, siapa pun tidak dapat menyekatnya.

Lebuh raya Kesas menjadi bukti kekentalan semangat rakyat Malaysia, dari pelbagai kaum, bersatu menuntut hak mereka yang selama ini dirampas oleh diktator melalui undang-undang, Mahathir Mohamad.

Selepas demonstrasi besar-besaran di Masjid Negara pada hari terakhir Anwar Ibrahim bebas bersama pengikutnya, inilah kali pertama saya melihat begitu ramai orang, dari segenap pelosok tanahair, bergabung dan bersatu hati bersama-sama pemimpin-pemimpin Barisan Alternatif, sekurang-kurangnya menunjukkan rasa marah mereka terhadap pemimpin utama Umno, Mahathir Mohamad.

Isu-isu mutakhir, misalnya sekatan royalti minyak kepada Kerajaan Terengganu membuktikan kedegilan Mahathir untuk menerima pilihan rakyat. Sudahlah begitu, kongkongan terhadap kebebasan rakyat untuk terus bersuara semakin diperketatkan. Polis sudah menjadi alat paling berkesan bagi Mahathir untuk mematahkan suara rakyat.

Lihat saja akhbar dan majalah yang tidak bersama Mahathir, semuanya diharamkan, termasuk Al-Wasilah yang merupakan hanya majalah untuk remaja. Alangkah dahsyatnya ketakutan Mahathir terhadap bayang-bayangnya sendiri.

Sesungguhnya demonstrasi aman semalam membuatkan saya tidur dengan nyenyaknya pada malam tadi. harapan saya selama ini termakbul oleh Tuhan. Anwar Ibrahim terus diingati rakyat di tengah-tengah penyebaran VCD yang memfitnahnya, manakala kemarahan orang ramai terhadap PM Mahathir terus hebat.

Biarlah seorang dua penyair GAPENA di Langkawi memuja-muji Mahathir, namun rakyat yang prihatin tahu siapa sebenarnya yang paling layak memerintah negara tercinta ini.

Syukur ke hadrat Ilahi dengan perhimpunan 5 November itu. Saya yakin ratusan ribu rakyat yang tidak hadir ke majlis itu tetapi mempunyai aspirasi sama, yakni melihat kejatuhan Mahathir dan menunggu munculnya sebuah kerajaan yang bertindak lebih adil untuk semua, bukannya hanya memikirkan untuk kesenangan kroni dan kaum kerabat saja.

Syabas buat pihak penganjur, khususnya Saari Sungib dan teman-temannya, juga kepada keempat-empat pemimpin utama BA. Kenangan manis 5 November itu diharap dapat dikirim terus buat reformis ulung kita, Sdr Anwar Ibrahim. Takbir!

IBU MUDA
Batu 3, Shah Alam


PENERBITAN PEMUDA
24G, Jalan 4/21D, Medan Idaman, Gombak
53100 Kuala Lumpur
Tel : 03-40243530 Faks : 03-4630372
lutfi_detik@hotmail.com

"DETIK DAN Al - WASILAH SUDAH MATI!
HALANG PENCABULAN KDN TERHADAP KEBEBASAN MEDIA"