Make your own free website on Tripod.com

     

Keganasan polis sebabkan
perhimpunan 100,000 rakyat berjaya
Sekaligus ia membuktikan bahang reformasi belum pudar..
Oleh Ibnu Osman

KUALA LUMPUR : Tindakan anggota polis menyekat laluan puluhan ribu rakyat yang ingin menghadiri perhimpunan aman di Jalan Kebun, 5 November lalu, telah menjayakan demonstrasi besar-besaran yang mencipta sejarah itu.

Meskipun semua akhbar harian Melayu menyifatkan perhimpunan itu gagal namun bagi mereka yang turut serta dalam perarakan raksasa sepanjang 10km di Lebuhraya Kesas itu, ia adalah perhimpunan terbesar selepas perhimpunan 20 September 1998, yang diketuai Anwar Ibrahim.

"Terima kasih kepada pihak polis yang menyebabkan perhimpunan aman ini nampak cukup hebat dan menggerunkan. Ia bukan saja dihadiri penyokong reformasi, tetapi turut dimeriahkan oleh mereka yang terkandas akibat tindakan polis menyekat laluan di plaza tol," kata seorang demonstran.

Sekaligus ia membuktikan bahang reformasi dan tuntutan supaya Perdana Menteri, Mahathir Mohamad berundur terus mendapat sambutan hangat. Mahathir selepas ini akan terus diganggu mimpi ngeri melihatkan ratusan ribu rakyat, tanpa takut dan bimbang, turun bersama menuntut hak mereka.

Lebih membanggakan apabila semua pemimpin tertinggi BA, Ustaz Fadzil Noor, Lim Kit Siang, Dr Wan Azizah Ismail dan Dr Syed Husin Ali turut bersama merangkaikan tangan dengan rakyat berdepan dengan tembakan gas pemedih mata.

Sesungguhnya perarakan raksasa itu menyuntik semangat kepada setiap warga pendokong reformasi supaya lebih gigih dan tekun melancarkan desakan supaya PM berundur.

"Tindakan ganas polis kepada orang ramai hanya akan memburukkan lagi imej pasukan keselamatan yang sedia buruk itu. Akhbar hanya membesarkan seorang polis yang dikatakan dikasari peserta perhimpunan aman itu, walhal ribuan rakyat prihatin yang diganasi tidak pula dimaklumkan," kata seorang bekas inspektor polis, yang kini berniaga sendiri, yang turut terperangkap di Lebuhraya Kesas itu.

"Syabas buat seluruh mereka yang turun ke Jalan Kebun semalam. Selama ini saya menyangka sokongan buat BA dan Anwar Ibrahim sudah reda tetapi sangkaan saya jauh meleset. Lautan rakyat di sepanjang lebuhraya semalam membuktikan saat-saat kejatuhan Mahathir semakin hampir," tambah seorang pesaran guru, 75 tahun, yang memberi komen selepas melihat gambar-gambar demonstrasi melalui akhbar-akhbar Cina.

"Lawan tetap lawan. Mahathir adalah beban terbesar buat negara kita. Lagi lama Mahathir memerintah, lagi merosakkan tanahair tercinta ini," tegasnya lagi.


PENERBITAN PEMUDA
24G, Jalan 4/21D, Medan Idaman, Gombak
53100 Kuala Lumpur
Tel : 03-40243530 Faks : 03-4630372
lutfi_detik@hotmail.com

"DETIK DAN Al - WASILAH SUDAH MATI!
HALANG PENCABULAN KDN TERHADAP KEBEBASAN MEDIA"