Make your own free website on Tripod.com

     

Deklarasi Perhimpunan Rakyat

Oleh Webmaster Detikdaily

DEKLARASI PERHIMPUNAN 100,000 RAKYAT 5 November 2000

“KEMBALIKAN HAK RAKYAT”

Menyedari bahawa suara rakyat adalah suara keramat dan rakyat adalah penentu masa depan negara;

Menginsafi bahawa usaha untuk mengeratkan perpaduan rakyat, perpaduan nasional yang tulen adalah teras kepada keadilan dan kebenaran;

Memahami bahawa hanya sistem yang menghormati suara rakyat demi keadilan dan kebenaran adalah sistem yang dapat mengembalikan hak rakyat;

Mengakui hanya kerajaan yang telus, jujur, amanah dan bersikap adil terhadap rakyat, negara dan kepentingan semua dapat mengembalikan demokrasi negara yang kian terhakis.

Dalam keadaan negara yang :-

Mempunyai kepimpinan diktator yang menafikan rakyat mengamalkan hak mereka dan mengakibatkan krisis politik paling teruk dalam sejarah negara apabila seorang Timbalan Perdana Menteri dipecat dengan begitu kejam dan hina;

Masih mengalami krisis ekonomi serta penyelewengan kuasa dan pemunggahan kekayaan yang membebankan rakyat tetapi menguntungkan kepentingan kroni dan segelintir mereka yang rakus kuasa serta kekayaan;

Sedang mengalami keruntuhan sistem sosial yang ketara akibat pengabaian dan penetapan prioriti yang tidak mengikuti keperluan rakyat sebaliknya hanya untuk kepentingan segelintir hinggakan instrumen kerajaan juga disalahgunakan dan rasuah menular;

Berterusan berlaku pencabulan hak asasi dan menyimpang daripada hak-hak yang dijamin oleh Perlembagaan Malaysia terutamanya dalam mengamalkan hak asasi rakyat untuk bersuara, berkumpul secara aman dan berpersatuan;

Mempunyai sistem pemerintahan yang telah memusnahkan kewibawaan pelbagai institusi masyarakat seperti parlimen, kehakiman, perkhidmatan awam, pasukan keselamatan dan media yang membawa kepada penghakisan kepercayaan rakyat;

Maka kerana itu rakyat diseru untuk :-

Bangkit menyatakan hak kebebasan untuk bersuara tanpa sekatan dan tanpa ancaman yang membantut kebebasan minda dan idea;

Bangun bersatu padu menyelamatkan Malaysia daripada cengkaman pimpinan rakus yang bermaharajalela mencemar hak rakyat dan membebankan ekonomi negara;

Bersama memulihkan sepenuhnya keyakinan terhadap kebebasan sistem kehakiman dan perundangan;

Berdiri teguh menuntut hak mendapat maklumat yang telus melalui media yang bebas dan bertanggungjawab;

Berganding bahu menegaskan hak rakyat bahawa pemimpin-pemimpin kerajaan adalah mereka yang memegang amanah dan mesti dipertanggungjawabkan kepada rakyat;

Bersatu padu memerdekakan jiwa daripada penindasan dan kezaliman sistem dan pimpinan korup kepada sistem yang membangun keinsanan jiwa-jiwa ke arah ciri-ciri kemanusiaan yang unggul.

Dengan itu
Rakyat diseru untuk berazam dan berikrar bagi :-
memastikan pengembalian hak sebenarnya kepada rakyat;
memastikan pimpinan yang korup dan tidak bertanggungjawab dinyahkan;
memastikan pimpinan yang bertanggungjawab dan memperjuangan keadilan, kebenaran dan hak rakyat dibebaskan dan ditempatkan sebagai pemimpin sebenar rakyat;
memerdekakan rakyat daripada belenggu sekatan dan ancaman palsu kerajaan untuk menyatakan suara rakyat melalui perhimpunan dan demonstrasi aman;
meneruskan perjuangan REFORMASI menegakkan kebenaran dan keadilan serta menghapuskan kezaliman.


PENERBITAN PEMUDA
24G, Jalan 4/21D, Medan Idaman, Gombak
53100 Kuala Lumpur
Tel : 03-40243530 Faks : 03-4630372
lutfi_detik@hotmail.com

"DETIK DAN Al - WASILAH SUDAH MATI!
HALANG PENCABULAN KDN TERHADAP KEBEBASAN MEDIA"