Make your own free website on Tripod.com

     

KAMI Bantah Keganasan
Terhadap Wartawan

Oleh Ahmad Lutfi

Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) mengecam tindakan polis yang merampas kamera seorang wartawan Malaysiakini.Com dan mengambil disket (filem) yang mengandungi foto-foto perhimpunan di Lebuhraya Kesas pada Ahad 5 November lalu, termasuk foto tentang kecederaan di kepala seorang peserta perhimpunan tersebut - dipercayai dikasari oleh pihak berwajib ketika menyuraikan perhimpunan besar itu.

Sebagai pihak yang bertanggungjawab, polis mestilah bertindak secara profesional dan tidak cuba memusnahkan rakaman foto atau menghalang tugas wartawan yang dijalankan dengan dedikasi dan jujur untuk menyampaikan maklumat yang benar.

Polis, media dan orang ramai semuanya memerlukan maklumat yang benar untuk menjamin kecemerlangan kehidupan sosial di negara ini.

KAMI juga menggesa dengan sesungguhnya kepada orang ramai, peserta perhimpunan dan penyokong parti politik agar memberikan kerjasama kepada semua "wartawan tulen" yang bertugas dan tidak mengapa-apakan mereka atau mengganggu tugas mereka.

Menurut laporan akhbar New Straits Times hari ini ("NUJ regrets attacks on journalists at illegal assembly, halaman 9), beberapa wartawan dan jurugambar dari Berita Harian, Utusan Malaysia dan agensi berita Reuters pula diserang oleh kumpulan-kumpulan orang yang dikatakan "perusuh." (rioters).

Sikap kasar dan tidan mengkut undang-undang (lawless) seperti ini, khususnya daripada anggota polis sendiri, merupakan satu bentuk ancaman dan sekatan serius terhadap kebebasan akhbar.

Oleh itu, KAMI menyeru kepada parti-parti politik atau penganjur sebarang perhimpunan agar mengawal keadaan dan mengamalkan kawalan diri (self-restraint).

Walaupun kecurigaan orang ramai wujud nyata terhadap agen-agen provokasi dan "pengintip" yang bersembunyi di sebalik kad akhbar (kononnya mereka itu wartawan) di dalam kumpulan peserta perhimpunan, mereka hendaklah bertindak mengikut lunas undang-undang dan demokrasi.

Jika mereka tidak teliti dan sabar, wartawan yang tulen akan menjadi mangsa dan akan merugikan kegiatan politik mereka sendiri, khususnya pembangkang yang tidak mempunyai akses (access) kepada media massa.

Walaupun mungkin terdapat asas-asas tertentu mengapa orang ramai bertindak kasar terhadap wartawan (misalnya Berita Harian dan Utusan Malaysia) tetapi keputusan untuk menyiarkan foto atau berita atau memutar-belitkan berita tidak dibuat oleh wartawan dan jurugambar yang bertugas di tempat kejadian. Keputusan itu dibuat oleh pengarang-pengarang berita dan orang kuat akhbar di bilik berita masing-masing.

Oleh itu, kekasaran terhadap wartawan dengan apa cara sekalipun boleh dikira sangat tidak wajar.

Selain itu, KAMI menggesa wartawan yang mengalami sebarang bentuk gangguan atau ancaman fizikal ketika membuat liputan pada hari itu agar membuat laporan polis supaya pihak berwajib boleh menjalankan siasatan dengan kadar yang segera.

Ahmad Lutfi Othman
Jurucakap KAMI
Telefon pejabat: 40230175
Telefon tangan: 019-3722079
Fax:40220450
Alamat: 24, Jalan 4/21D,
Medan Idaman, Gombak, Kuala Lumpur


PENERBITAN PEMUDA
24G, Jalan 4/21D, Medan Idaman, Gombak
53100 Kuala Lumpur
Tel : 03-40243530 Faks : 03-4630372
lutfi_detik@hotmail.com

"DETIK DAN Al - WASILAH SUDAH MATI!
HALANG PENCABULAN KDN TERHADAP KEBEBASAN MEDIA"