Make your own free website on Tripod.com

     

Suhakam harus siasat segera
dakwaan ada peserta demo
100,000 rakyat terkorban!

Oleh Editor Detikdaily

KUALA LUMPUR : Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) digesa menjalankan penyiasatan rapi di atas perilaku ganas pasukan polis menangani perhimpunan aman 100,000 rakyat Ahad lalu, di sepanjang Lebuhraya Kesas sehingga Jalan Kebun, Shah Alam.

Ramai peserta perhimpunan aman itu telah dipukul dan diganasi sehingga ada antara mereka yang tercedera tidak diberi peluang untuk mendapatkan rawatan. Malah tindakan polis menembak gas pemedih mata kepada keempat-empat pemimpin utama Barisan Alternatif terus dikutuk.

Suhakam yang mempunyai hak untuk memanggil mana-mana pihak yang dirasakan perlu bagi menjelaskan apa sebenarnya yang berlaku pada petang Ahad itu harus bertindak segera. Dalam keadaan media yang terus membohongi rakyat bagi mendapatkan maklumat sebenar tentang kejadian, hanya badan bebas seperti Suhakam yang boleh menjadi orang tengah, sekurang-kurangnya menyiasat tuduhan dan rungutan orang awam terhadap kredibiliti pasukan keselamatan.

Ramai beranggapan polis kini dijadikan benteng terakhir Dr Mahathir untuk terus kekal berkuasa meskipun majoriti rakyat mahukan beliau berundur. Namun tindakan ganas polis hanya mencetuskan malapetaka lebih besar buat Mahathir, apatah lagi bila diberitakan ada pihak yang cedera parah.

Lebih buruk lagi apabila berita angin disebarkan bahawa seorang peserta perhimpunan aman itu dikatakan telah meninggal dunia akibat dipukul polis. Walaupun khabar itu tidak dapat disahkan, namun kegelisahan rakyat sukar dibendung lagi.

Justeru, Suhakam di bawah pimpinan Musa Hitam diharap tidak diam membantu dalam suasana tidak menentu ini. Suhakam perlu turun ke padang, menyelami denyut jantung rakyat dan diingatkan supaya tidak mudah membuat kenyataan awal tanpa bersandarkan fakta.

Beberapa kalangan tertentu, khususnya pimpinan NGO tertentu yang sudah melahirkan rasa tidak puas hati terhadap pengendalian Suhakam dalam isu-isu membabitkan keganasan polis.

“Wibawa Suhakam dan Musa Hitam akan teruji dengan kes ini. Apakah mereka mampu untuk melaksanakan keadilan meskipun ia mengundang kemarahan Mahathir ataupun hanya berani menyiasat kes-kes yang tidak membabitkan kediktatoran Mahathir? Jika Suhakam gagal berperanan menangani isu ini, maka jelas sekali ia sebuah badan hak asasi manusia yang palsu, dan ditubuhkan hanya untuk mengabui mata rakyat,” tegas seorang aktivis hak asasi manusia.


PENERBITAN PEMUDA
24G, Jalan 4/21D, Medan Idaman, Gombak
53100 Kuala Lumpur
Tel : 03-40243530 Faks : 03-4630372
lutfi_detik@hotmail.com

"DETIK DAN Al - WASILAH SUDAH MATI!
HALANG PENCABULAN KDN TERHADAP KEBEBASAN MEDIA"