Make your own free website on Tripod.com

     

Mengimpikan kebebasan
selepas era Mahathir
Bersama bekas tahanan ISA ini di Kolej Era Baru, Kajang.
Temubual oleh Muhammad Nor Abd Samad

Pengarah Suaram (Suara Rakyat Malaysia), DR KUA KIA SOONG berbicara tentang isu hak asasi manusia, reformasi, dan perspektif orang Cina terhadap perkembangan semasa. Kua, bekas MP DAP 1990, menyifatkan Suhakam sebagai badan hak asasi palsu jika tidak bertegas terhadap ISA. Ikuti temubual, wakil Detikdaily, Muhammad Nor Abd Samad bersama bekas tahanan ISA ini di Kolej Era Baru, Kajang, 27 Oktober lalu.

Secara umumnya, bagaimana perkembangan hak-hak asasi manusia di Malaysia? Apabila bercakap mengenai hak asasi manusia di Malaysia, kita tidak dapat lari dari bercerita mengenai ISA. Masalah terbesar hak asasi manusia di negara ini ialah adanya ISA. Sebab itulah Suaram menjadikan usaha menghapuskan ISA sebagai agenda utamanya walaupun terdapat banyak perkara lain, seperti alam sekitar dan mangsa projek pembangunan kerajaan.

Malaysia satu-satunya negara di dunia, selain Singapura yang masih menggunakan ISA, yang memberi kuasa menahan seseorang sesuka hati, tanpa perlu membawanya ke muka pengadilan. Kerajaan menggunakan ISA berkali-kali dan digunakan sewenang-wenangnya untuk menahan individu atau kelompok yang tidak sealiran dengannya, apatah lagi yang menentangnya.

ISA jelas melanggar hak asasi manusia kerana tahanan tidak berpeluang membela diri dan apa jua tuduhan yang dihadapinya tidak pernah dibuktikan di mahkamah. Saya dapat tahu Islam juga tidak membenarkannya. Saya diberitahu perkara itu semasa ditahan Operasi Lalang 1987, bersama antara lain Mohamad Sabu dan Mahfuz Omar. Melalui ISA, kita dapat melihat siapa sebenarnya mengamalkan ajaran sesat (ketawa).

ISA digunakan begitu mudah tanpa sebarang justifikasi. Bayangkan, dalam Operasi Lalang saya ditahan kononnya kerana membahayakan keselamatan negara melalui buku saya, “Polarisation in Malaysia”. Tetapi buku itu tidak pernah diharamkan. Dalam masa sama, buku Mahathir “The Malay Dilemma” pernah diharamkan KDN kerana terlalu sensitif, tetapi Mahathir tidak pernah ditahan.

Sejauh mana beratnya masalah hak asasi manusia di Malaysia.

Cukup berat. Sangat menyedihkan apabila seseorang menyedari dirinya boleh ditahan bila-bila masa, dan tidak berpeluang membela diri. Orang awam rasa tidak selamat dan ini pelanggaran hak asasi manusia paling serius.

Kini kita ada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam). Adakah kita boleh meletakkan harapan?

Saya rasa tidak banyak harapan. Apa yang lebih menonjol ialah kerajaan sebenarnya terpaksa menubuhkan Suhakam.

Terpaksa bagaimana?

Akibat desakan rakyat yang inginkan badan seperti itu ditubuhkan. Selain itu, keadaan serantau dan dunia juga menekan. Thailand, Filipina, India, malah hampir seluruh negara di dunia menubuhkan suruhanjaya hak asasi manusia. Malaysia agak keterbelakang. Untuk menyertai masyarakat antarabangsa, mahu tidak mahu Malaysia terpaksa menubuhkannya. .

Jadi apa fungsi Suhakam di sini?

Saya pernah menegaskan, jika Suhakam tidak memperjuangkan penghapusan ISA, saya anggap Suhakam sebuah badan hak asasi manusia palsu. Saya tidak nampak bagaimana sebuah badan yang memperjuangkan hak asasi manusia tidak mahu memperjuangkan penghapusan ISA. Memang kita tidak meletakkan harapan yang tinggi pada Suhakam tapi kita boleh mendesaknya supaya Suhakam mendesak kerajaan melaksanakan tuntutan hak asasi manusia seperti menghapuskan ISA. Dari situ terdedah wajah sebenarnya.

Adakah saudara yakin ISA akan dihapuskan?

Kita harap semasa kita hidup kita dapat menyaksikan ISA dihapuskan. Untuk itu, kita harus terus mendesak kerajaan. Suaram meningkatkan kempen kesedaran perlunya menghapuskan ISA. Kini lebih 71 NGO menyertai kami berbanding dulu yang kurang daripada 30. Kami harap sambutan akan terus meningkat kerana semakin hari semakin ramai yang menjadi mangsanya. Dan, setiap kali kerajaan menggunakan ISA, kelompok baru akan menjadi sasarannya. Pada masa dulu, sasarannya komunis. Dalam Operasi Lalang, mangsanya orang DAP, PAS, aktivis kesatuan dan pendidik. Baru-baru ini, mangsanya bekas ahli Umno, ahli keADILan. Hari demi hari semakin ramai yang menjadi mangsa. Kesannya semakin dirasai. Sokongan kian menggalakkan sehingga ada orang Umno menampal sticker ‘hapuskan ISA’ di keretanya.

Jika Mahathir bukan lagi PM, apakah ISA masih dilaksanakan?

Saya rasa tidak. Apabila Mahathir pergi, akan berlaku perubahan besar dalam negara ini. Saya tidak fikir rakyat masih memerlukan ISA dan ia akan dihapuskan terus. Saya yakin, bila Mahathir pergi, apa yang berlaku ialah seperti semasa Suharto pergi. Tapi kalau selepas Mahathir, yang mengambil alih kekuasaan lebih teruk, maka waktu itu Malaysia berada dalam keadaan yang amat teruk sekali.

Keadaan akan jadi lebih baik selepas era Mahathir?

Saya rasa begitu. Mahathir yang terburuk, apa lagi selepas itu? (ketawa) Lagipun kita perlu mengimpikan sesuatu yang lebih baik. Kita memerlukan permulaan baru bagi negara ini. Langkah pertama, hapuskan ISA, dan Suhakam perlu jadi suruhanjaya hak asasi manusia yang berwibawa. Kita memerlukan suruhanjaya hak asasi manusia yang benar-benar bebas supaya rakyat dapat meletakkan harapan. Dalam konteks sekarang, jika kita perhatikan, suruhanjaya hak asasi manusia di Indonesia, Filipina dan Thailand nampak lebih bebas dan berwibawa.

Saya harap, setelah Mahathir pergi, akta zalim lain seperti Akta Percetakan dan Penerbitan juga turut dihapuskan. Penerbit tidak perlu lagi memperbaharui permit penerbitan setiap tahun, dan sebarang penerbitan tidak sewenang-wenangnya diharamkan kerajaan. Ini bukan satu perubahan besar. Bagi saya ini merupakan perubahan asas jika negara ingin membuat pemulaan baru yang lebih baik. Gerakan reformasi sepatutnya lebih menekankan hal ini dalam tuntutan mereka kerana inilah asas kepada perubahan yang lebih besar.

Bercakap mengenai gerakan reformasi, apa pandangan saudara apabila rakyat turun ke jalan raya dan berdemonstrasi?

Demonstrasi secara aman saya rasa tidak menjadi kesalahan. Hasil penelitian Suaram selama ini, dan perakuan beberapa orang, seperti Sabri Zain yang melihat dari dekat demonstrasi itu, semuanya boleh dikatakan berjalan secara aman kecuali apabila berlaku provokasi dari polis. Sebahagian mereka yang terlibat dengan demonstrasi ini terdiri adalah golongan menengah, ada yang membawa keluarga, kanak-kanak dan wanita. Tidak ada ciri-ciri menunjukkan demostrator ingin menunjukkan keganasan. Saya sendiri pernah menyaksikan dan memang saya dapati kebanyakan mereka kelas menengah.

Ada cara lain yang lebih baik untuk menyuarakan rasa tidak puas hati?

Apabila sudah tidak ada cara lain yang dirasakan dapat menyuarakan pendapat, misalnya akhbar tidak mahu menyiarkan, begitu juga tv dan radio, saya rasa berdemonstrasi secara aman itulah cara terbaik. Ini bukan sesuatu yang luar biasa. Ia lumrah. Lihatlah di Yugoslavia baru-baru ini: ratusan ribu orang keluar ke jalan raya menyatakan bantahan setelah semua saluran media enggan berbuat demikian. Malah, memprotes juga dibenarkan Perlembagaan.

Adakah parti politik terutama pembangkang berjaya berperanan menyedarkan rakyat tentang pelanggaran hak-hak asasi manusia di negara ini?

Mereka berperanan tetapi tidak begitu berkesan. Ini kerana terlalu banyak sekatan yang perlu dihadapi. Mereka tidak dapat menyebarkan maklumat sebegitu mudah. Tidak semua mereka mempunyai saluran dan organisasi untuk menghebahkannya.

Kesedaran tentang buruknya ISA, OSA dan seumpamanya hanya dihayati segelintir rakyat, mengapa ini terjadi?

Banyak faktor, antaranya keselesaan hidup dan ini tidak boleh kita nafikan. Sebagai contoh, mengapa kaum Cina menyokong BN dalam pilihan raya lalu – kebanyakannya merasa kehidupan cari makan tidak terganggu kalau BN menang. Dari satu sudut kita boleh sifatkan alasan ini sebagai mementingkan diri. Bagi Suaram, kami rasa kita tidak harus terlalu mementingkan diri. Kita perlu melihat masyarakat menurut perspektif lebih luas. Sekiranya kita benar-benar mahu menyelesaikan masalah, kita tidak boleh memikirkan diri kita sahaja. Katakan saya, kalau saya ingin keselesaan hidup, saya boleh berpindah ke England. Hidup aman damai di sana. Tetapi oleh kerana penyelidikan yang saya buat berkaitan masyarakat Malaysia, di mana ia membuatkan saya tahu apa yang berlaku dari sudut ekonomi, politik, undang-undang dan hak asasi manusia, saya rasa saya perlu berbuat sesuatu dan menyisihkan kepentingan itu.

Adakah terdapat perbezaan antara perspektif orang Cina dengan orang Melayu dalam menanggapi isu-isu semasa?

Masyarakat Cina sebenarnya telah lama berpecah. Sejak tahun 50-an lagi. Mereka ada MCA, Parti Buruh, DAP dan sebagainya. Apa yang dinamakan perpaduan Cina itu hanya disebut oleh MCA. Hakikatnya tidak begitu. Kapitalisme telah lama merosakkan masyarakat Cina. Dalam masyarakat Cina terlalu ramai big boss. Masyarakat Cina tidak akan dapat bercakap mengenai perpaduan selagi kapitalime masih membuatkan big boss dan golongan pekerja bercanggahan. Masyarakat Melayu baru sekarang merasakan bahang kapitalime itu. Sewaktu orang Melayu berada di bawah sistem feudal, perkara ini tidak berlaku. Perpaduan masih utuh. Tapi kini ada beberapa golongan di kalangan orang Melayu. Melayu pertengahan, Melayu bawahan dan sebagainya. Dan ini belum termasuk kapitalisme kronisme.

Jadi, perpaduan Melayu juga tidak berlaku kerana kapitalisme merosakkannya. Ini lumrah. Perkara yang sama juga berlaku di negara lain. Inilah akibat kapitalisme. Justru, tidak hairan jika seruan “Melayu bersatulah menentang Cina” tidak lagi mendapat tempat. Politik perkauman sebenarnya semakin terhakis. Bagi masyarakat Melayu, apa yang berlaku pada Anwar Ibrahim memang benar-benar membuatkan mereka membuka mata kerana apa yang berlaku itu di luar kebiasaan dan begitu asing dari sudut budaya mereka. Mereka dapati apa yang dikenakan ke atas Anwar bukan sahaja bertentangan dengan nilai moral, bahkan Islam itu sendiri. Masyarakat Cina juga mempunyai pandangan serupa tetapi mereka tidak mengaitkannya dengan Budhisme atau Hinduisme. Mereka melihat dari sudut adil atau tidak adilnya tindakan yang dikenakan ke atas Anwar itu.

Selain menumpukan usaha ke arah penghapusan ISA apa lagi yang dilakukan Suaram?

Fokus utama kita memang ke arah penghapusan ISA kerana ISA isu terbesar hak asasi manusia. Kita juga berusaha mewujudkan kesedaran mengenai pelanggaran hak asasi manusia dalam kes lain seperti kesan daripada projek kerajaan, contohnya Bakun, atau kesengsaraan peneroka bandar.


PENERBITAN PEMUDA
24G, Jalan 4/21D, Medan Idaman, Gombak
53100 Kuala Lumpur
Tel : 03-40243530 Faks : 03-4630372
lutfi_detik@hotmail.com

"DETIK DAN Al - WASILAH SUDAH MATI!
HALANG PENCABULAN KDN TERHADAP KEBEBASAN MEDIA"