Make your own free website on Tripod.com

     

Muslimat PAS bersedia
hadapi apa saja.
Wanita mahupun Puteri Umno – Dr Lo’lo Ghazali
Oleh Wartawan Detik

Berikut adalah hasil wawancara Detikdaily dengan AJK PAS Pusat, Dr Lo’lo’ Haji Ghazali:

Kita memang ada program-program kita yang tersendiri dalam menangani tuntutan orang-orang muda atau remaja ini. Mungkin ada yang berpendapat program itu tidak mampu untuk menarik minat remaja, tetapi kita tidaklah menyediakan program itu semata-mata untuk memenuhi kehendak dan nafsu orang muda. Kita mewujudkan program-program kita berlandaskan al-Quran dan Sunnah, selaras dengan perlembagaan PAS. Matlamat kita adalah untuk melahirkan generasi yang berakhlak, bertaqwa dan segala aktiviti kita menjurus ke arah itu.

Kalau kita dikatakan tidak menyerlah, mungkin agak keterlaluan kerana aktiviti kita sememangnya banyak tetapi media massa tidak bersama-sama kita. Kita tidak mempunyai saluran untuk menghebahkan aktiviti-aktiviti kita. Bagi Umno, bolehlah kerana dalam aktiviti-aktiviti yang tidak berkenaan dengan Umno pun, boleh diUmnokan seolah-olah itu adalah gerakerja mereka.

Sekarang ini kita perhatikan (wanita) Umno, dia menumpang pada program-program misalnya baru-baru ini operasi khidmat masyarakat yang dibuat oleh persatuan pelajar universiti. Sekarang Umno menempek, sebab dia tidak boleh buat gerakerja ini, dia tak buat.

Persatuan-persatuan mahasiswa bila minta kebenaran dengan Ketua kampung misalnya, JKKK kampung salurkan, panggil wakil rakyat dia untuk menempek program itu. Jadi inilah kerja mereka, kemudian ambil gambar dan tunjuk dalam suratkhabar dan sebagainya. Begitulah kerja Wanita Umno, sengaja menempekkan nama mereka dengan gerakerja yang tidak sepatutnya, mereka tidak dapat membezakan antara parti mereka dengan kerajaan.

Kita buat gerakerja dan tidak ada siapa atau agensi yang membantu kita. Kita ada program, ada matlamat, ada visi dan misi kita sendiri. Kita akan sentiasa InsyaAllah, samada ada Puteri Umno atau tak ada Puteri Umno, bergerak bersama-sama, boleh dikatakan sekarang ini dengan semua lapisan masyarakat.

Wanita Umno sekarang ini bimbang kerana tidak dapat mempengaruhi golongan-golongan intelek untuk bersama dengan mereka. Yang bersedia bersama mereka adalah golongan muda yang hanyut dan lalai dengan keseronokan hidup. Kita pun ada program dan usaha untuk mendekati golongan ini, tetapi dengan cara kita sendiri.

Mungkin keterbatasan tenaga dan wang, kerana kita bergerak secara sukarela dan tidak bergantung kepada penaja dan sebagainya menyebabkan ianya agak perlahan dan kurang menyerlah. Sebaliknya mereka boleh menggunakan segala jentera kerajaan dan mendapat pelbagai tajaan dalam program-program mereka, bukan ribuan malah sampai jutaan ringgit terutamanya program hiburan yang berbentuk maksiat dan melalaikan. Bagaimanapun kita tidak mengharapkan pengiktirafan daripada sesiapa kerana apa yang penting ialah kita buat kerja dan kita tahu keupayaan dan kekuatan gerakerja kita.


PENERBITAN PEMUDA
24G, Jalan 4/21D, Medan Idaman, Gombak
53100 Kuala Lumpur
Tel : 03-40243530 Faks : 03-4630372
lutfi_detik@hotmail.com

"DETIK DAN Al - WASILAH SUDAH MATI!
HALANG PENCABULAN KDN TERHADAP KEBEBASAN MEDIA"