Make your own free website on Tripod.com

     

Generasi Baru PAS
Nak Jadi Usahawan, Ditendang Macam Bola
Oleh DINSMAN

Peristiwa penyingkiran Anwar Ibrahim daripada kerajaan dan parti politik pimpinan Dr Mahathir pada 2 September 1997 telah membawa banyak perubahan kepada politik Malaysia. PAS pun tidak terkecuali daripada mengalami perubahan akibat peristiwa tersebut. Pandangan rakyat Malaysia terhadap PAS telah berubah. Secara tiba-tiba ramai orang menyokong PAS dan menyertai PAS. Golongan intelektual, profesional dan peniaga juga ramai yang menyertai PAS. Akibatnya, PAS kini sedang mengalami proses perubahan.

Kita belum tahu secara jelas bagaimanakah rupa dan bentuk perubahan tersebut, kerana prosesnya masih berlaku. Tulisan ini pun tidak bertujuan membincangkannya. Tulisan ini hanya ingin berkenalan dengan salah seorang tokoh baru dalam saf pimpinan PAS peringkat negeri, yang boleh dianggap sebagai mewakili "generasi baru PAS".

Tokoh bernama Azmi Lop Yusof, yang berjaya memenangi kerusi DUN Bandar (Kuala Terengganu) dalam pilihan raya 29 November lalu. Dia dianggap "generasi baru PAS" bukanlah kerana umurnya yang masih muda (45 tahun), tetapi kerana beberapa faktor lain. Antaranya latar belakangnya yang bukan dari golongan berpendidikan agama. Dia merupakan tokoh yang pernah aktif dalam Umno, berjaya sebagai usahawan, dan baru sahaja menyertai PAS setelah berlakunya tragedi penyingkiran Anwar Ibrahim.

Orang seperti Azmi ini, secara kebetulan, membawa kelebihan dan kekuatan tersendiri kepada PAS. Misalnya, apabila PAS mengambilalih Terengganu, ada menteri Umno yang tak sabar-sabar membuat pengumuman bahawa para pelabur akan takut untuk melabur di Terengganu, kerana Terengganu diperintah oleh PAS.

"Kenapa mesti takut?" kata Azmi. "Saya sendiri pun seorang pelabur. Ramai kawan-kawan saya terdiri daripada pelabur. Dan saya berada di dalam kerajaan PAS sekarang. Tidak ada sebab untuk pelabur merasa takut." Azmi mendapat pendidikan tinggi dalam bidang pertanian, tetapi mencapai kejayaan dalam perusahaan di bidang industri komponen kereta. Selepas mendapat diploma pertanian dari Kolej Pertanian Malaysia (sekarang Universiti Putra Malaysia), dia melanjutkan pengajian ke Amerika Syarikat. Ijazah Sarjana Muda Sains Pertanian diperolehinya dari Universiti Lousiana, USA (1977-1979).

Sewaktu membuat pengajian peringkat Sarjana dalam bidang Agric Business di universiti tersebut, dia mengambil keputusan meninggalkan bilik kuliah untuk pulang ke tanahair, bagi memulakan perniagaan sendiri.

"Nak buka cable TV," ceritanya kepada penulis. "Masa itu TV3 pun belum ada lagi. Kawan saya menjalankan operasi cable TV di Dallas. Saya dapat idea daripada dia untuk buka di Malaysia. Saya boleh dapat supply filem daripada dia, filem-filem baru, dalam masa seminggu." Dengan semangat anak muda yang panas menggelegak itu Azmi pulang ke Malaysia, membawa proposal yang dipercayainya akan mendapat sokongan pihak tertentu. Rupa-rupanya respons yang diterimanya adalah negatif. Tidak ada pihak yang mahu "membeli" proposalnya.

Selepas tiga bulan Azmi pun kehabisan duit simpanannya dan dia terpaksa bekerja. "Saya bekerja dengan Tractor Malaysia," cerita Azmi selanjutnya. "Lepas itu saya berhenti dan buka bisnes sendiri. Saya buat bisnes spare parts. Tak ada orang Melayu buat spare parts di Kuala Terengganu masa itu. Saya nak bersaing dengan Cina. Saya nak buktikan orang Melayu pun boleh buat."

Semangat! Itulah Azmi Lop Yusof. Hingga sekarang pun semangatnya masih menggelegak. Ternampak jelas pada cara dia bercakap menjawab soalan-soalan penulis. Dan dia percaya semangat adalah antara faktor utama kejayaannya.

"Ini negeri aku," katanya. "Orang Melayu ada kuasa. Kenapa Cina dari Ipoh boleh berjaya di sini, daripada seluar pendek kepada bangunan empat tingkat? Kenapa orang Melayu tak boleh?"

"Orang Melayu tak boleh berjaya dalam spare parts hingga hari ini sebab apa?" tanya Azmi, dan dia sendiri menjawab: "Sebab Kerajaan tak tolong. Berapa banyak kenderaan milik Kerajaan! Kalau dia nak tolong Melayu dalam perniagaan spare parts, orang Melayu mesti boleh berjaya. Tetapi sebab apa dia tak mahu tolong? Sebab Melayu tak pandai nak rasuah dia." Itulah semangat anak muda yang mudah menjadi marah-marah. Semangat marah-marah dan tak puas hati itulah yang mendorong Azmi menyertai politik. Dia hendak membuat perubahan.

"Lepas itu saya buat pula parking meter di Kuala Terengganu," ceritanya lagi. "Saya dapat kontrak hingga tahun 2000. Tetapi bila Datuk Bakar tukar ke parlimen dan Wan Mokhtar jadi Presiden Majlis Perbandaran Kuala Terengganu (MPKT), dia tamatkan kontrak saya. Tetapi saya telah buktikan, saya berjaya tukar kedudukan penswastaan parking itu daripada rugi kepada untung." Sewaktu projek kereta nasional dimulakan, Melayu boleh dikatakan belum ada dalam industri komponen kereta. "Saya fikir kalau saya tak buat, kaum lain akan ambil kesempatan itu. Saya pun usaha sendiri. Saya mula daripada kosong. Saya bukan ada duit. Arwah ayah saya meninggal, adalah dia tinggalkan sekeping dua tanah. Itu saja. Saya mengambil risiko yang tinggi.

Saya nak menjayakan industri dan teknologi di Terengganu." Tahun 1986. Orang ketawa apabila Azmi berkata dia nak buka kilang komponen kereta di Terengganu. Pengurus bank pun belum tahu lagi mengenai industri komponen kereta. Mereka biasa mendengar cerita mengenai projek tebang balak atau bina bangunan sekolah. Tetapi mereka tak pernah dengar ada projek hendak buat 'wire harness', seperti yang hendak diusahakan oleh Melayu bernama Azmi Lop ini.

"Melayu ni nak buat komponen kereta? Nak buat kilang?" Seorang pengurus besar perbadanan ekonomi kerajaan negeri terperanjat mendengar proposal yang dikemukakan oleh Azmi.

"Mu Melayu, mu ada pitih?" Tanya dia kepada Azmi. (Pitih maksudnya duit). "Mu engineer? Mu nak cari kepakaran teknologi mana? Mu nak cari pasaran mana?" "Eh Melayu nak buat kilang, nak wujudkan 80 hingga 200 pekerjaan!" Datuk Pengurus Besar SEDC Terengganu itu hairan, macam tak percaya yang dia sedang berdepan dengan seorang anak muda Melayu yang bersemangat menggelegak. Lalu dia mencabar Azmi.

"You don't talk big to me, Azmi. Mu sapa? Mu buktikan pada saya apa kejayaan yang mu dah buat hingga mu nak minta SEDC ambil bahagian dalam projek mu. You tell me, mana teknologi mu?" Dan akhirnya dia halau Azmi.

Selama satu tahun Azmi menunggu untuk mendapat lesen membuka kilang membuat komponen kereta, wire harness.

Waktu itu ada sebuah sahaja kilang membuat wire harness, yang memonopoli komponen tersebut. Azmi mengemukakan permohonannya pada tahun 1984, dan dia terpaksa menunggu hingga Julai 1985.

"MIDA tolak permohonan saya, selama setahun," katanya.

"Saya kena tendang macam bola. Rasuah terlalu banyak." Tidak ada jalan lain lagi. Azmi terpaksa membuat rayuan kepada menteri. (Waktu itu Tengku Razaleigh baru bertukar ke Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Perindustrian). Tetapi untuk berjumpa dengan menteri bukannya mudah. Kalau kita tidak kenal sesiapa di sana, mereka akan tanya kita: 'Ketua Bahagian Umnokah? Menteri sibuk ni, diplomat itu nak jumpa, orang ini nak jumpa. Awak ni chairman syarikat mana?'

"Akhirnya saya terpaksa bayar RM20,000 kepada seorang Mr X, yang boleh bawa saya berjumpa Tengku Razaleigh. Bukan Tengku Razaleigh yang minta duit. Kawan ini yang hendak. Dapatlah saya berjumpa menteri selama 15 minit." Terus terang Azmi bercerita, dia terpaksa memberi rasuah kerana terlalu mengharapkan seseorang membantu dia untuk berjumpa menteri. Punyalah susah hendak berjumpa dengan menteri kita. Mungkin menteri tak tahu pun orangnya mengambil rasuah. Tetapi demikianlah yang berlaku. Maka menteri janganlah tidak mengambil tahu hal-hal seperti itu.

Kemudian, pada tahun 1989, setelah berjaya menjalankan perusahaan membuat wire harness, Azmi mendapat tawaran untuk membuat satu lagi komponen, iaitu getah keliling kereta, weather strip.

Cerita Azmi: "Masa itu Iwabuchi menjadi Pengarah Urusan kedua Proton, menggantikan Wan Nik. Dia percaya saya boleh buat, walaupun saya tak ada duit. Dia bagi saya satu lagi projek, weather strip, yang pertama kali akan dibuat di Malaysia. Saya nak buat di Terengganu juga." Azmi pun berjumpa dengan Menteri Besar Terengganu waktu itu, Wan Mokhtar Ahmad. Dia membawa kertas kerja yang lengkap, hendak mengajak Kerajaan Negeri Terengganu mengambil bahagian. Tetapi Wan Mokhtar memberi jawapan yang sangat mengecewakan.

"Dia jawab, 'dukacita kita tak ada duit.' Adakah lojik alasan macam itu? Tapi tempat lain kamu boleh belanja, boleh melabur, hingga kena tipu." Ternyata Azmi masih marah-marah dengan jawapan Wan Mokhtar itu.

"Akhirnya saya buat juga sendiri," katanya. "Bukan di Terengganu, tetapi di Batang Berjuntai, Selangor. Segi Niaga Rubber Industries (M) Sdn Bhd, dengan pekerja seramai 350 orang. Saya buat usahasama dengan MMC (Malaysia Mining Corporation), dengan harga projek lebih kurang RM15 juta, pada tahun 1990." Kini Azmi menjadi Pengarah kepada syarikat tersebut. Azmi juga menjadi Penasihat kepada syarikat Delphi Packard Electric (Malaysia) Sdn Bhd, (sebelum ini Hasu Industries Sdn Bhd, yang membuat wire harness, dan Azmi sebagai Pengarah Urusannya). Selain itu Azmi juga menjadi Pengarah Khind Berhad.

Azmi juga adalah Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu. *