Make your own free website on Tripod.com

     

Misteri perjalanan
mahkamah Malaysia
Analisis Sistem Kehakiman Malaysia
Oleh PETER GOLDSMITH

Kali pertama saya bertemu Zainur Zakaria kira-kira lima tahun dulu. Waktu itu, dia datang ke London sebagai wakil Majlis Peguam Malaysia membincangkan pendidikan peguam muda Malaysia. Dia seorang lelaki berbudi bahasa, dan bertutur lemah lembut. Di wajahnya tidak ada tanda-tanda menunjukkan dia seorang pemberontak atau penentang.

Namun, Mahkamah Rayuan Malaysia mengesahkan hukuman penjara tiga bulan ke atasnya kerana menghina mahkamah. Ia dengan sendirinya mendedahkan terdapat krisis dalam sistem keadilan Malaysia. Masyarakat antarabangsa memandang berat kes ini. Pelbagai pihak menyuarakan pandangan sejak beberapa tahun kebelakangan dan baru-baru ini, empat buah badan perundangan antarabangsa mengemukakan satu laporan "Keadilan Dalam Bahaya: Malaysia 2000".

Hukuman ini timbul dari perbicaraan high-profile bekas TPM Anwar Ibrahim. Zainur salah seorang peguam bela Anwar. Zainur memohon kepada mahkamah supaya mengisytiharkan dua pendakwaraya kes itu sebagai tidak layak. Permohonan dibuat atas arahan Anwar dengan sokongan afidavitnya yang mengadu tingkah laku kedua-duanya menunjukkan terdapat unsur kepentingan peribadi dan tindakannya pula boleh dipersoalkan.

Permohonan itu juga disokong oleh perakuan bersumpah seorang peguam lain, Manjeet Singh Dhilion, yang bertindak pembela dalam perbicaraan melibatkan Nallakaruppan, seorang kawan Anwar. Nalla dibicarakan atas tuduhan memiliki senjata api dan sekiranya didapati bersalah boleh dikenakan hukuman mati.

Pihak pendakwaraya, menurut Manjeet, menawarkan hukuman yang lebih ringan sekiranya Nalla sanggup memberi bukti yang boleh mensabitkan Anwar. Pandangan Manjeet, yang disahkan dalam perakuan bersumpahnya dan tidak pernah disanggah mana-mana afidavit lain, menyatakan pendakwaraya mencadangkan Nallaka mengada-adakan bukti itu.

Jelas sekali, dakwaan seperti ini amat serius dan memerlukan siasatan yang cermat sebelum ia boleh dikemukakan. Akan tetapi, apabila ia diajukan kepada Hakim Augustine Paul, beliau mengetepikannya begitu sahaja dan menganggapnya tidak berasas dan tidak disokong oleh sebarang dokumen.

Beliau juga mengugut akan mengenakan hukuman kepada Zainur kerana menghina mahkamah kecuali jika dia memohon maaf tanpa syarat kepada mahkamah, Peguam Negara dan pendakwaraya terlibat. Zainur diberi masa 30 minit untuk membuat keputusan.

Zainur enggan meminta maaf kerana tidak mahu merosakkan kepentingan pelanggannya dan sanggup menghadapi tuduhan menghina mahkamah. Paul menolak permohonan penangguhan, enggan membenarkan Zainur memanggil sebarang saksi dan menjatuhkan hukuman tiga bulan penjara ke atasnya. Hanya disebabkan adanya Mahkamah Rayuan maka Zainur terselamat dari dimasukkan ke dalam penjara pada masa itu juga.

"Mengejutkan mahkamah"

Bagi mana-mana peguam atau hakim Inggeris, kejadian ini amat luar biasa. Sejak 60 tahun lalu, tidak ada satu hukuman pun berjaya dikenakan ke atas mereka yang dituduh "mengejutkan mahkamah" sebagai asas tuduhan menghina mahkamah seperti yang dikenakan kepada Zainur itu di England.

Menghalang peguam mengemukakan permohonan atau hujah, walaupun ia tidak dipersetujui, atas arahan pelanggan di mana terdapat bukti yang menyokong, adalah bercanggah dengan amalan asas perbicaraan yang adil. Malah dalam kes Zainur ini, tidak jelas bagaimana permohonan yang dibuatnya itu boleh disifatkan sebagai "mengejutkan mahkamah."

Permohonan itu tidak menyerang mahkamah tetapi kelakuan dua orang pendakwaraya. Hakim Paul berkata, permohonan itu "mempunyai kecenderungan memesongkan mahkamah daripada melaksanakan undang-undang dan menentukan isu khusus dengan merujuk kepada bukti."

Adalah tidak jelas mengapa perkara ini berlaku. Sekiranya permohonan itu jelas tidak sempurna dan tidak disokong dengan sebarang bukti, maka dalam kes ini ia memang layak ditolak. Tapi jika ia benar-benar berasas, maka mahkamah perlulah memperbetulkan keadaan dan menolak saksi yang didapati cemar.

Yang dipersoalkan bukanlah soal keraguan membuat keputusan. Semua orang maklum dalam mana-mana kes high-profile pengaruh emosi begitu kuat. Apa yang dipersoal, simptom kurangnya sokongan terhadap kebebasan menyuarakan pandangan bagi mewujudkan perbicaraan yang adil.

Malangnya, apa yang berlaku bukan sekadar ini; beberapa orang peguam lain yang bertindak bagi pihak Anwar turut diganggu. Ketua peguam Anwar, Karpal Singh yang terkenal itu, akan menghadapi perbicaraan atas tuduhan mengeluarkan kata-kata fitnah ketika membela Anwar.

Seorang peguam lain yang juga pegawai Majlis Peguam, dihukum enam bulan penjara atas tuduhan mengeluarkan kata-kata menghina ketika melakukan kerja pembelaan. Seorang hakim malah mengeluarkan perintah menghalang Majlis Peguam mengadakan mesyuarat tergempar bagi membincangkan masalaah pentadbiran keadilan di Malaysia.

Risiko penjara

Dalam kes Zainur ini, nampaknya Mahkamah Rayuan bertindak di luar kewajaran dengan mengeluarkan amaran kepada semua peguam mengenai risiko penjara jika mereka bertindak di luar batas di mahkamah. Tingkah laku yang betul memang penting, tetapi pemakaian istilah menghina tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya atau untuk menghalang hujah atau pemakaian kaedah yang sah di sisi undang-undang di mahkamah. Sejarah sistem kehakiman Malaysia menyedihkan; pemecatan hakim yang paling kanan dan tuduhan menghasut yang dikenakan ke atas Param Cumaraswamy yang pada ketika itu Timbalan Pengerusi Majlis Peguam, dan kini wakil khas PBB, sebagai contohnya, dicatat dengan baik di tempat lain. Perubahan besar amat diperlukan - masanya telah tiba bagi Kerajaan Malaysia untuk bertindak meningkatkan keyakinan umum, sama ada di dalam negara atau di peringkat antarabangsa terhadap pentadbiran keadilannya. Sementara itu, Zainur masih bebas dengan jaminan, menunggu keputusan akhir rayuannya untuk mengetahui sama ada dia perlu menghabiskan masa tiga bulan dalam penjara kerana mewakili pelanggannya ataupun tidak.


Lord Goldsmith, QC Pengerusi bersama Institut Hak Asasi Manusia, Majlis Peguam Antarabangsa.

PENERBITAN PEMUDA
24G, Jalan 4/21D, Medan Idaman, Gombak
53100 Kuala Lumpur
Tel : 03-40243530 Faks : 03-4630372
lutfi_detik@hotmail.com

"DETIK DAN Al - WASILAH SUDAH MATI!
HALANG PENCABULAN KDN TERHADAP KEBEBASAN MEDIA"