Kempen
Pemilihan Umno Bahagian Tegang:
ADUN
Umno acu pistol
HULU LANGAT: Malam 26
Februari lalu akan menjadi igauan buruk selamanya buat seorang
pesara Jabatan Perdana Menteri, Jaafar Mohd Arif, 58 tahun,
apabila beliau mendakwa diacu pistol kira-kira tepat di
kepalanya, dalam jarak dekat, oleh Ahli
Dewan Undangan Negeri Beranang, Ahamad Kuris Mohd Nor, di
Kampung Bt 15, Bukit Kundang, dekat sini.
"Saya betul-betul panik
dan terkejut, walaupun beliau mengacu pistol itu ke bahagian
antara kepala dan dada saya, hanya untuk seketika. Mungkin
selepas menyedari tindakannya itu boleh menimbulkan implikasi
buruk, pistol itu kemudiannya di hala ke bawah. Saya hanya tidak
membenarkan kenderaan Kuris dan rombongannya melalui kawasan
tanah milik isteri saya. Itu saja," kata Jaafar mengimbas
kembali peristiwa yang tidak akan dilupakannya itu.
Dalam kejadian lebih kurang
jam 10.30 malam itu, difahamkan Kuris dalam perjalanan ke sebuah
rumah ketua wanita Umno setempat, yang bersempadanan dengan
tanah pertanian milik isteri Jaafar. Sebelumnya rombongan Kuris
yang dikatakan terdiri dari beberapa pemimpin Umno Hulu Langat
yang giat berkempen bagi menghadapi pemilihan Umno bahagian,
April depan, telahpun tiba di rumah ketua wanita itu, Kalsom
Manan.
Ahamad Kuris dilaporkan akan
bertanding menentang Ketua Bahagian Umno Hulu Langat, Dr Zainal
Abidin Ahmad, yang juga ADUN Dusun Tua, dan giat berusaha
mendapat sebanyak mungkin pencalonan di peringkat cawangan.
Bukit Kundang, tempat kejadian, di bawah kawasan DUN Dusun Tua.
Dr Zainal yang juga Timbalan Menteri Besar Selangor dijangka
mendapat tentangan sengit daripada kumpulan Kuris.
Menurut Jaafar, bagi
menghalang kenderaan turun naik melalui kawasan tanah isterinya
itu, beliau meletakkan sekatan berupa zink buruk dan besi
jerejak. Lanskap kawasan itu agak berbukit. Melihatkan keretanya
tidak dapat melalui jalan ke rumah Kalsom, Kuris berkata kepada
Jaafar: "Awak tak kenal siapa saya? Saya YB Kuris, kalau
ada apa-apa masalah kita boleh runding."
Selepas itu timbul
pertengkaran mulut antara mereka berdua, di mana kemudiannya,
Jaafar mendakwa, Kuris mengeluarkan pistol dan menghala ke
arahnya. "Saya
tidak berniat untuk memulakan pergaduhan. Sebab itu saya hanya
seorang diri. Saya letak sekatan seorang diri. Kalau ada orang
nak pukul pun, saya
akan lari," ujarnya lagi, menepis dakwaan sesetengah pihak
bahawa beliau sengaja menimbulkan provokasi kepada Kuris.
"Sepatutnya,"
tambah Jaafar, "kalau ada pun majlis keramaian yang akan
dibuat, maklumkanlah dulu kepada saya. Jangan main langgar saja.
Lagipun, saya hanya sekat kenderaan melalui kawasan tanah isteri
saya, kalau mereka tinggalkan kereta di bawah, dan berjalan kaki
naik ke atas, saya tidak menghalang."
Kata Jaafar, selama ini,
apa-apa aktiviti parti selalunya akan dijalankan di balai raya
berdekatan, lebihkurang 150 meter dari rumah tempat majlis
diadakan pada malam itu. "Sebagai manusia biasa, jika
mereka minta izin untuk lalu di kawasan itu, saya akan benarkan."
Ekoran peristiwa mengejutkan
itu, Jaafar telah membuat laporan polis pada 27 Februari, di
Balai Polis Kajang, jam 11.45 pagi kerana takut dan bimbang
keselamatan dirinya. Seterusnya pada 9 Mac lalu, jam 12.15
tengahari, Jaafar sekali lagi membuat laporan polis di balai
polis yang sama, berikutan tersebarnya risalah yang
memburuk-burukkannya.
Jaafar menafikan segala
tohmahan yang terkandung dalam risalah itu, yang antara lain
mendakwa beliau pada malam kejadian memegang parang dalam
keadaan bengis, seolah-olah hilang akal. Risalah yang disebarkan
secara meluas di Hulu Langat itu juga mendakwa tindakan Jaafar
ada kaitan dengan seorang tokoh Umno tempatan.
"Semua dakwaan dalam
surat layang itu adalah tidak benar," tegas Jaafar.
Ahamad Kuris bagaimanapun
gagal dihubungi. Bagaimanapun, menurut sumber yang rapat
dengannya, mereka juga membuat laporan polis dan mendakwa Kuris
terpaksa bertindak demikian untuk mempertahankan diri.
Dalam pada itu, Ketua
Bahagian Umno Hulu Langat, Dr Zainal enggan mengulas lanjut,
sebaliknya menyerahkan kepada pihak polis untuk menyiasat.
"Kalau betul berlaku demikian, saya amat kesal sekali,"
komennya ringkas.
DISINI
TAMAT |